Pembalakan haram berleluasa di tanah NCR Nanga Ulin


KANOWIT: Penduduk di tiga buah rumah panjang di kawasan Nanga Ulin, Sungai Poi di sini memohon pihak berkuasa berkaitan menghentikan kegiatan pembalakan haram di kawasan mereka.

Wakil penduduk, Tuai Rumah Enyang Kana berkata kegiatan itu berlaku sejak 2010 sehingga kini.

“Di kawasan kami terdapat dua buah kem pembalakan yang berhampiran iaitu Kem Lipus dan Kem Nanga Dap.

“Kedua-dua kem itu bertindak menebang serta mencuri kayu di tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan banyak hutan serta kayu hilang dan diceroboh pekerja kem tersebut,” katanya menerusi kenyataan media yang difakskan kepada pejabat Utusan Borneo di sini semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri sekarang tidak meluluskan mana-mana lesen berkaitan pembalakan tetapi kenapa kegiatan syarikat pembalakan itu masih diteruskan.

“Kenapa mereka masih meneruskan kegiatan terbabit meskipun kerajaan negeri sudah tidak membenarkan kegiatan balak di negeri ini. Itu yang amat menghairankan kami,” jelasnya.

Katanya sebelum ini mereka membuat laporan polis serta berkunjung ke pelbagai agensi berkuasa bagi menangani masalah tersebut namun menemui jalan buntu.

“Pihak berkuasa masih gagal menjawab serta mengambil sebarang tindakan terhadap kedua-dua syarikat kem pembalakan terbabit,” ujarnya.

Beliau memberitahu, tanah mereka yang diceroboh itu mempunyai keluasan 2,736 hektar dan selesai disukat menerusi perimeter survei pada tahun lalu.

“Tanah itu adalah ‘pulau galau’ kami di Nanga Ulin, Sungai Poi. Tanah tempat kami hidup,” katanya.

Enyang memberitahu, tanah itu dimiliki bersama penduduknya yang teridiri daripada 15 pintu termasuk penduduk Rumah Sangga Abit (19 pintu) di Lepong Giam dan Rumah Balai Jelian (enam pintu) di Pala Giam.

Justeru, beliau memohon pihak berkuasa berkaitan menyelesaikan masalah itu sambil berharap dapat berdialog dengan Ketua Menteri mengenai isu terbabit pada masa akan datang.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget