Kenal pasti minat sebelum pilih kerjaya: Fadillah

Ceburi bidang kemahiran jika akademik kurang berjaya, dalami ilmu untuk bersaing pada masa depan

KUCHING: Pelajar harus mengenal pasti minat seterusnya menguasai bidang diminati kerana ia akan menjadi kelebihan khasnya selepas memasuki alam pekerjaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelajar yang meminati bidang automobil, pembinaan atau fesyen digalak meneruskan pengajian dalam kemahiran tersebut.

“Kalau kurang berjaya daripada segi akademik, pastikan anda mempunyai kemahiran. Sebab itu, anda perlu kenal pasti minat sama ada automobil, pembinaan, elektrik, fesyen atau sebagainya dari awal.

“Dan, terus menimba ilmu secara bersungguh-sungguh dalam bidang tersebut. Jika anda tidak ada kemahiran tertentu, macam mana bersaing pada masa depan? Untuk berjaya seseorang mesti ada ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kembara Jejak Realiti 2015 ‘KEJAR ‘15’ di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sarawak, di Jalan Sultan Tengah, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya Fazruddin Abdul Rahman yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Petra Jaya.

Fadillah juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, pelajar agak lemah dalam bidang akademik perlu mempertimbang menceburi bidang kemahiran teknikal demi masa depan cerah.

Katanya, ia sememangnya mempunyai peluang pekerjaan lebih tinggi khasnya dengan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang memerlukan tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang.

“Sebab itu golongan pelajar sekolah perlu mengenal pasti minat lebih awal kerana dengan minat, pekerjaan itu kelak dapat dilaksana dengan bersemangat dan lebih baik.

“Anda perlu mengenal pasti bidang yang diminati dari awal kerana ia akan menjadi kelebihan kelak apabila melangkah masuk ke alam pekerjaan kelak,” katanya.

Program itu disertai 182 pelajar tingkatan empat yang mempunyai masalah disiplin dan akademik di tujuh bsekolah di kawasan Petra Jaya.

Sekolah itu adalah seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Jaya, SMK Petra Jaya, SMK Matang Hilir, SMK Demak Baru, SMK Semerah Padi, SMK Sri Matang dan SMK Sg Maong.

Antara objektif program itu adalah memberi pendedahan kepada generasi muda agar siap sedia menghadapi cabaran zaman serta menggariskan hala tuju dan matlamat yang harus diperjuangkan oleh generasi muda masa kini.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget