KUCHING: Kempen Petisyen Tandatangan 0 % Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi Sarawak oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching bukan untuk menentang Barisan Nasional (BN) tetapi mahu kerajaan menilai lebih lanjut mengenai pelaksanaan GST kerana ramai rakyat terbeban daripadanya.
Naib Pengerusi SUPP Cawangan Kuching Peter Pui menegaskan bahawa pihaknya mahu kerajaan tampil dengan penyelesaian yang lebih baik ke atas GST disebabkan cukai berkenaan telah mengakibatkan kenaikan harga barangan yang menjejaskan kehidupan rakyat khususnya di Sarawak.
“Dengan mengumpul tandatangan ini, ia menjadi mandat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem supaya mempunyai lebih banyak suara daripada rakyat terhadap kerajaan persekutuan untuk meminda GST dan kami mahu tindakan ini diambil,” katanya sempena pelancaran Kempen Petisyen Tandatangan 0% GST bagi Sarawak di pejabat SUPP Cawangan Kuching di sini, semalam.
Dalam pada itu, Peter turut menegaskan bahawa kempen berkenaan adalah bukan satu rancangan untuk memancing undi sebaliknya berjuang untuk keperluan rakyat.
Sementara, Timbalan Ketua Pemuda SUPP yang juga pengerusi penganjur kempen Ting Wei Tzen berkata pihaknya menyasar mengumpul sebanyak 500,000 tandatangan sepanjang tempoh kempen diadakan di seluruh negeri iaitu sehingga 31 Oktober.
“Enam bulan selepas pelaksanaan GST dan setelah mengumpul maklumat daripada orang ramai, kami telah menerima banyak maklum balas negatif terutama daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Ramai orang mengalami inflasi, perbelanjaan sara hidup meningkat dan terpaksa mengurangkan taraf hidup mereka,” katanya.
Ting menjelaskan bahawa negeri ini boleh dikecualikan daripada GST seperti Pulau Langkawi, Pulau Labuan dan Pulau Tioman kerana dalam Perjanjian Malaysia, Sarawak mempunyai autonomi untuk merancang dan melaksanakan sistem cukai sendiri.
Kempen Petisyen Tandatangan 0% GST bagi Sarawak akan dijalankan oleh semua 43 cawangan SUPP dan pada 31 Oktober, senarai tandatangan yang dikumpul akan diserahkan kepada Presiden SUPP Senator Datuk Dr Sim Kui Hian semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu.
Dr Sim kemudian akan menyerahkan petisyen berkenaan kepada Adenan.
- Borneo Post Online
Post a Comment