Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Rodziah Morshidi berkata, syarikat kontraktor yang akan membina jejantas untuk laluan pejalan kaki di Blok 31, Kemena Landa District itu ialah Hing Hong Construction.
Majlis menandatangani kontrak tersebut telah diadakan di Ibu Pejabat BDA Wisma Bintulu antara BDA yang diwakili Rodziah dan Setiausaha merangkap Pengurus Kanan (Perundangan) BDA, Siti Aishah Othman, manakala Hing Hong Construction diwakili oleh Pengurusnya, Wong Hung Sing dan Pengurus Tapak, Hii Tau Lee.
Majlis itu turut disaksikan oleh Pemangku Timbalan Pengurus Besar BDA, Bohari Kipli; Penolong Pengurus Besar (Khidmat Korporat), Sheikh Anuar Nasruddin Aminullah, pengurus kanan, pegawai-pegawai BDA dan ketua-ketua masyarakat setempat.
Rodziah berkata, skop kerja membabitkan pembinaan jejantas pejalan kaki yang panjangnya dianggarkan 90 meter x 6 meter lebar dan dua platform 700 meter persegi setiap satu dan satu `Bus Bay’.
“Projek ini membawa banyak faedah kepada komuniti setempat dan menarik perhatian banyak pihak. Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing juga kerap bertanya kepada saya mengenai projek ini yang mana akhirnya dapat dilaksanakan dengan penyerahan pembinaan projek tersebut kepada pihak kontraktor hari ini,” jelasnya.-Utusan Borneo
Post a Comment