Pemegang sijil UEC kini boleh memohon kerja di kerajaan negeri, seta pinjaman dan biasiswa dari Yayasan Sarawak dan malah mungkin boleh menyambung pelajaran di Unimas.
Turut hadir ketika pengumuman tersebut adalah ketua Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) Vincent Lau dan pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Persendirian Cina Bersatu Sarawak Richard Wee Liang Chiat.
Ketua Menteri Adenan Satem berkata, memandangkan kerajaan persekutuan terus berlengah dalam memberikan lampu hijau, beliau telah memutuskan bagi pihak kerajaan negeri untuk meneruskannya.
Katanya: “Jika kita menunggu kelulusan persekutuan, ia mungkin memakan masa bertahun!”
Pejabat Ketua Menteri kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa kelulusan rasmi akan diberikan tidak lama lagi.
Maka berakhirlah tugas berat dan melelahkan yang digalas lima presiden sebelum ini – jika kita melihat perjuangan SUPP yang dimulakan ketika era pimpinan Stephen Yong Kuet Tze dan disempurnakan oleh Sim.
Ia menjadi isu kempen paling hangat buat beberapa pilihanraya negeri (PRN) pada masa lalu. Isu ini memihak dan menguntungkan DAP kerana kerajaan negeri terus mengabaikannya.
Ramai yang berkata, keputusan ini adalah mustahil ketika di bawah regim lama.
Akan tetapi, perjuangan isu ini nampaknya masih belum berakhir sepenuhnya.
Penyokong SUPP dan parti serpihannya UPP (Parti Rakyat Bersatu) masing-masing mendakwa merekalah faktor utama kemenangan ini.
Pertikaiannya adalah Lau, salah seorang penyumbang dana terbesar UPP, turut ada ketika pengumuman dibuat. Namun Sim-lah selaku presiden SUPP yang membuat pengumuman. Malah beliau juga yang mendapat kelulusan peribadi dari Adenan untuk mengumumkannya.
Tetapi mereka masih bergaduh.
Selaku pengerusi Pengurusan Sekolah Menengah Persendirian Cina, Wee berkata: “Kita patut merasa gembira dan bersyukur dengan kelulusan ini, atas kecenderungan peribadi Adenan dan kebolehannya membuat keputusan bebas daripada persekutuan. Untuk apa lagi bertelingkah secara terbuka?”
Benar! Adakah masyarakat Cina di negeri ini bersikap remeh sehingga mahu mencetuskan isu politik daripada berita baik ini?
Penting sangatkah bagaimana kelulusan diperolehi, dan siapa yang bertanggungjawab mendapatkannya?
Kita semua perlu merasa gembira yang perkara ini menjadi kenyataan akhirnya.
Kita tidak patut terus mempolitikkan perkara seperti pendidikan, dan juga dasar yang memberi kesan terhadap semua pendidikan – Cina, Inggeris, Dayak atau India!
Terima hakikat bahawa pemimpin berubah, begitu juga dasar yang dibawanya. Tiada perkara yang kekal selamanya, dan manusia tidak boleh terus hidup dengan mengabaikan apa yang berlaku di sekelilingnya. Kita semua melangkah ke hadapan dan dengan harapan ke arah kebaikan.
Pejuang pendidikan Cina di Sarawak sepatutnya memberikan tunduk hormat dan berterima kasih kepada Adenan Satem kerana melakukan perkara ini, sesuatu yang sudah diperjuangkan mereka sejak sekian lama.-The Ant Daily
Post a Comment