DAP mahu takluk semua kerusi majoriti Cina di Sibu


KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak mula menggerakkan jenteranya ke Sibu bagi menyelesaikan misi parti untuk menakluki kesemua kerusi majoriti Cina di kawasan itu.

Bagi tujuan itu, DAP Sarawak menurut Pengerusinya Chong Chieng Jen akan mengadakan jamuan malam di Sibu pada 16 Oktober ini.

Pada jamuan itu nanti, DAP Sarawak akan mengadakan acara lelongan ke atas lima maskot baharu Ubah 2.0 yang dilancarkan semalam sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Kami memilih Sibu bagi jamuan dan acara lelongan ini kerana kami mempunyai urusan yang belum selesai untuk diselesaikan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Sarawak di sini semalam.

Tambah Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan ADUN Kota Sentosa, beliau tidak perlu menjelaskan urusan yang dimaksudkan kerana umum sudah mengetahuinya.

Sebagai makluman, sokongan terhadap DAP semakin kuat di Sibu selepas berjaya merampas kerusi Parlimen Sibu daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menerusi mendiang Wong Ho Leng.

Satu daripada kerusi DUN dalam Parlimen Sibu iaitu Pelawan juga disandang oleh DAP yang diwakili oleh David Wong, juga menewaskan calon SUPP.

Pada PRN akan datang, DAP akan merampas satu lagi kerusi DUN dalam Parlimen Sibu iaitu Bawang Assan yang dimenangi Dato Sri Wong Soon Koh atas tiket SUPP yang mana kemudian keluar dan membentuk Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Terdahulu pada sidang media itu, DAP Sarawak melancarkan maskot baharu Ubah 2.0 untuk jualan bagi mengutip dana bagi kempen PRN akan datang.

Maskot baharu Ubah 2.0 ini dijual pada harga RM20 satu bagi saiz kecil, RM50 bagi bantal Ubah 2.0 dan RM100 bagi maskot bersaiz besar.

Sebagai persiapan menghadapi PRN akan datang, DAP Sarawak juga telah bersedia dengan slogan serta lagu tema yang akan dilancarkan pada bila-bila masa.

Pada 8 November 2015 pula, DAP Sarawak akan mengadakan ‘State Ordinary Member Convention’ melibatkan 150 orang delegasi di Crown Towers di sini.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget