BN boleh rangka, susun strategi PRN

Ia berikutuan penolakan rayuan plaintif ke atas keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini berhubung persempadanan semula DUN Sarawak
KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak kini boleh merangka dan menyusun strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata ia berikutuan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang menolak permohonan rayuan pihak plaintif ke atas keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini berhubung cadangan persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Plaintif bagi kes itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang yang juga Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak See Chee How dan pengundi dari Ulu Baram, Pauls Baya.

“Ini (keputusan) sudah tentu berita baik untuk BN Negeri… jadi sekarang apa yang boleh dilakukan oleh BN Sarawak khasnya ialah merancang pelan serta strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri,” katanya ketika dihubungi semalam sebagai mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai perkara itu.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah dan Menteri Kanan Negeri menambah, langkah seterusnya perlu dilakukan BN Sarawak ialah rundingan mengenai peruntukan kerusi dalam kalangan empat parti komponen BN.

”Selama ini kita menanti-nanti keputusan mahkamah. Akhirnya hari ini (semalam) kita tahu bahawa cadangan 11 kerusi baharu DUN ini diluluskan.

“Maknanya juga selepas itu, rundingan mengenai peruntukan kerusi melibatkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) termasuk PRS, boleh dimulakan,” jelasnya.

Keputusan Mahkamah Persekutuan itu bakal menyaksikan Sarawak mempunyai 82 kerusi DUN dengan penambahan 11 kerusi baharu itu iaitu Batu Kitang, Stakan, Serembu, Triboh, Gedong, Kabong, Tellian, Selirik, Murum, Samalaju dan Long Lama.

Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi Utom pula berkata BN Sarawak sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Sebenarnya kita (BN Sarawak) telah bersedia menghadapi sebarangan kemungkinan sama ada cadangan 11 kerusi baharu itu terangkum pada Pilihan Raya Negeri akan datang atau sebaliknya.

“Apapun situasinya, BN (Sarawak) akan berdepan cabaran sama daripada pembangkang dan kita akan menerima apa jua keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Sekarang kita sudah boleh lebih memfokus kepada strategi untuk memastikan BN Sarawak kekal pilihan rakyat,” ujarnya.

Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata keputusan mahkamah itu sememangnya sudah dijangkakan begitu juga dengan See Chee How sendiri.

“DUN telah menyokong 11 kerusi baharu dimaksudkan, ia penilaian yang baik dan kita bakal menyaksikan 11 ADUN baharu selepas PRN nanti,” katanya.

Menurut Menteri Muda Pembangunan Belia itu lagi, Sarawak negeri yang luas, hampir seluas Semenanjung Malaysia, justeru lebih ramai wakil rakyat diperlukan bagi memastikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat dapat diberikan.

Pada masa sama ujarnya, suara atau rintihan rakyat lebih mudah didengari oleh kerajaan BN.

“Pembangkang berharap dapat memalukan SPR dengan mencabar prosedur persempadanan tetapi usaha itu diketepikan mahkamah. Saya percaya SPR dapat melaksanakan tugas mereka dengan tenang sekarang,” tegasnya.

- Borneo Post Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget