Banyak pembaharuan

Adenan buat 38 dasar baharu beri kebaikan kepada rakyat, negeri Sarawak.

KUCHING: Selepas kira-kira setahun lapan bulan mentadbir negeri, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah membuat 38 dasar baharu yang memberi kebaikan kepada rakyat dan negeri ini.

Beliau berkata keputusan untuk membuat dasar baharu itu disebabkan Sarawak sudah lama dianaktirikan terutama dari segi pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas oleh kerajaan persekutuan sejak merdeka 50 tahun dahulu.

“Cukuplah 50 tahun kita dipinggirkan, sudah tiba masanya rakyat Sarawak merasai nikmat pembangunan seperti yang ada di Sememanjung Malaysia.

“Sebab itu, kita telah membuat 38 keputusan berkaitan dasar baharu yang memberi kebaikan kepada rakyat Sarawak dan negeri secara keseluruhannya supaya jurang di antara rakyat di bandar dan luar bandar dapat dirapatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Yayasan Kebudayaan Dayak (YKD) Ke-23 di Hotel Riverside Majestic di sini malam kelmarin.

Adenan berkata dasar baharu yang pertama kali diberi tumpuan adalah penggunaan perkataan ‘lain-lain’ bagi merujuk masyarakat Bumiputera di Sarawak.

“Sekarang tiada lagi penggunaan ‘lain-lain’ di setiap borang dan sekiranya kamu melihat ada penggunaan ‘lain-lain’ kamu boleh batalkannya dan letak bangsa kamu sendiri.

“Kamu (masyarakat Dayak) mempunyai adat dan budaya sendiri, kamu adalah masyarakat yang membanggakan, berpendidikan dan tidak layak untuk dipanggil ‘lain-lain’ kerana kita juga bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku,” tegasnya.

Pada masa sama beliau tidak menafikan bahawa masyarakat Dayak telah banyak memberi sumbangan dan bakti dalam bersama-sama memajukan dan membangunkan negara amnya dan Sarawak khasnya.

Oleh itu, beliau berharap masyarakat Dayak menyedari fakta tersebut bahawa mereka adalah masyarakat Malaysia seperti kaum lain yang ada di negara ini.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu itu berharap rakyat Sarawak memberi mandat lima tahun lagi kepadanya sebagai Ketua Menteri untuk meneruskan perjuangan yang telah dibuatnya.

“Cukuplah mandat lima tahun lagi, sekarang saya sudah berusia 71 tahun dan pada 76 tahun saya akan bersara kerana dua tahun memang tidak mencukupi untuk saya melaksanakan visi dan dasar yang dapat memberi kesenangan kepada rakyat Sarawak,” jelasnya.

Malah, beliau memberitahu bahawa lebih banyak pembangunan akan dapat dilaksanakan sekiranya rakyat Sarawak memberi mandat yang kuat kepadanya dan juga wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Di bawah pentadbirannya, Adenan banyak membawa perubahan terutama dalam meningkatkan taraf hidup rakyat di luar bandar, menghapuskan tol, pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, tambahan royalti minyak dan gas, penyerahan semula kuasa autonomi kepada Sarawak dan banyak lagi.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang juga pengerusi YKD berkata masyarakat Dayak di negeri ini sentiasa berdiri teguh di belakang Adenan.

Pada majlis makan malam itu, Adenan turut menyumbang RM500,000 kepada YKD. Hadir sama Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu dan tetamu kehormat lain.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget