Selepas sokong himpunan ‘baju merah’, Najib kata BN menentang ekstremisme kaum


Barisan Nasional (BN) menentang segala bentuk ekstremisme kaum, kata Datuk Seri Najib Razak hari ini, walaupun parti itu baru-baru ini memberi sokongan tersirat kepada perhimpunan baju merah 16 September yang dicemari ucapan berapi-api dan kain rentang yang provokatif terhadap komuniti Cina.

Pengerusi BN itu juga mengutuk kedua-dua penunjuk perasaan baju merah dan peserta perhimpunan Bersih 4 yang diadakan dalam selang masa 3 minggu, mengatakan walaupun Putrajaya membenarkan rakyat berhimpun secara aman, penganjur perlu menahan diri daripada melakukan sebarang perkara yang menjejaskan sensitiviti kaum.

"Kita mesti menolak sebarang bentuk ekstremisme, sama ada keganasan, seperti yang kita lihat di Timur Tengah atau pelampau kaum.



"Apa yang kita perlu tekankan ialah jika anda mahu menganjurkan perhimpunan, lakukannya secara aman. Kita benarkan perhimpunan aman," kata perdana menteri yang juga presiden Umno itu.
"Jangan bawa sepanduk yang diwarnai sentimen perkauman, jangan buat kenyataan yang bersifat menghasut. Jangan menyakiti perasaan orang lain. Dan, tentu sekali, jangan menghina pemimpin negara," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-62 di Kuala Lumpur hari ini.

Himpunan baju merah anjuran badan bukan kerajaan pro-hak Melayu diadakan sebagai tindak balas kepada himpunan baju kuning anjuran pemantau pilihan raya Bersih 2.0 pada 29 dan 30 Ogos, kerana ia didakwa menghina orang Melayu.

Walaupun ia dicemari bibit-bibit keganasan oleh segelintir penunjuk perasaan yang cuba merempuh masuk Jalan Petaling yang tidak dibenarkan, Najib sebelum ini mempertahankan perhimpunan 16 September itu, menyifatkan ia manifestasi kebangkitan orang Melayu dalam membela maruah diri dan kepimpinan negara daripada dikutuk dan dihina.

Najib berkata hari ini, majlis perundingan perpaduan negara semasa membentangkan laporannya berkata, walaupun Malaysia secara umumnya harmoni, ia juga dicemari insiden perpecahan.

Oleh itu, beliau menegaskan, jalan ke hadapan ialah kesederhanaan dan progresif, serta saling hormat menghormati.

Beliau juga memberikan pujian melangit terhadap kepentingan bersederhana dan mengharmonikan perbezaan di kalangan 13 parti komponen BN, yang beliau sifatkan sebagai adik-beradik dalam satu keluarga, supaya kesepakatan dapat dicapai dalam banyak perkara.

Beliau berkata, penting untuk semua orang kembali kepada asas negara, iaitu bekerjasama dan membina kepercayaan di antara pelbagai kaum di Malaysia.

"Begitu banyak yang kita capai dalam negara ini, kita dicemburui negara lain. Ramai orang katakan kepada saya 'anda sangat bertuah'.

"Ada yang datang ke sini dan tidak mahu kembali, ada juga ramai duta yang berkata mereka tidak mahu dipindahkan keluar dari negara ini," katanya. –The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget