UPP tembusi kubu terakhir pembangkang di Engkilili

Serik ditabur janji manis dan dahagakan pembangunan buka hati penduduk kembali ke pangkuan BN

MERINDUN (Lubok Antu): Seramai 42 orang termasuk Tuai Rumah Irak Temiang telah hilang keyakinan terhadap pakatan pembangkang yang disifatkan tidak mempunyai hala tuju jelas dalam perjuangan mereka.

Sehubungan itu, mereka beramai-ramai keluar Parti Pekerja Rakyat (SWP) dan memilih Parti Rakyat Bersatu (UPP) sebagai wadah perjuangan baharu mereka.

Menurut Irak, selama bersama pembangkang mereka seolah-olah terasing di bumi sendiri kerana ketika kawasan dan rumah panjang lain di bawah Barisan Nasional (BN) dilimpahi pembangunan dan geran MRP, rakyatnya hanya menggigit jari.

“Tiada apa yang mampu dilakukan ketika bersama pembangkang sebaliknya kami hanya disajikan angan-angan kosong selain janji yang entah bila akan tertunai,” ujarnya sambil menambah, sebelum menyertai SWP mereka bersama Parti Keadilan Rakyat.

Beliau berkata demikian pada majlis ringkas penyerahan keahlian dalam UPP dikenali Sirih Pulang ke Gagang diketuai Irak yang mewakili anak-anak buahnya di Merindun semalam.

Tambahnya, mereka sebelum ini bukan tidak mempercayai BN namun kerana terperdaya janji-janji manis pembangkang akhirnya mereka tewas.

“Namun kini kami sudah sedar dan cukup serik bila hanya rumah panjang ini yang jauh tertinggal daripada arus pembangunan berbanding tempat lain di DUN Engkilili. Apatah lagi kami dilabel lubuk pembangkang pasti amat menjengkelkan,” katanya dan menambah rumah panjang itu pernah dijadikan tempat pelancaran SWP bagi Parlimen Lubok Antu pada pilihan raya lepas.

Katanya mereka memilih UPP kerana yakin dengan perjuangan parti baharu itu serta tertarik dengan sikap merendah diri, rajin turun padang serta komited membantu rakyat yang ditunjukkan oleh wakil rakyatnya Dr Johnical Rayong Ngipa dalam mengemudi konstituensi berkenaan.

“Adalah sesuatu yang merugikan jika kami berterusan dalam pembangkang sedangkan kami sudah memiliki wakil rakyat (Dr Rayong) yang cukup baik dalam memaju serta berkhidmat kepada rakyat,” katanya dan berikrar akan menyokong mana-mana calon BN pada Pilihan Raya Negeri akan datang termasuk Dr Rayong yang bakal mempertahankan DUN berkenaan kelak.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa mengalu-alukan kepulangan mereka ke pangkuan BN.

“Buang yang keruh ambil yang jernih. Marilah berjuang bersama saya dan UPP kerana hanya menerusi BN dapat menyalurkan pelbagai pembangunan apatah lagi kini kita diketuai Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang cukup prihatin kepada rakyat terutama di luar bandar.

“Lihatlah sejak mengambil alih tampuk pemerintahan kira-kira 18 bulan lalu terlalu banyak pencapaian cemerlang dilakarnya dan kita percaya akan banyak lagi kejayaan menyusur untuk penggal seterusnya,” katanya.

Tambahnya, rakyat khususnya pengundi di kawasan ini harus berdiri kukuh di belakang UPP kerana mereka adalah sebahagian daripada keluarga besar BN menerusi konsep BN-Plus.

“Perkara tersebut sudah jelas dan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Adenan pada 4 Jun lalu yang mengiktiraf UPP dan TERAS sebagai sebahagian daripada BN menerusi konsep BN-Plus,” katanya.

Pada majlis yang turut dihadiri para kaunselor dan beberapa tuai rumah itu, Dr Rayong turut mengumumkan pemberian geran MRP berjumlah RM15,000 selain meluluskan kerja-kerja baik pulih jalan menuju ke Klinik Kesihatan Merindun sepanjang hampir 100 meter.-Utusan Borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget