41 empangan akan dikaji tentukan tahap keselamatan - Wan Junaidi

WAN JUNAIDI: Kajian tersebut amat penting bagi memastikan empangan terbabit cukup stabil dan kukuh bagi mengelakkan malapetaka yang besar jika ia pecah.

PUTRAJAYA: Kesemua 41 empangan di seluruh negara akan dikaji bagi menentukan sama ada ia masih selamat untuk digunakan, perlu dibaik pulih atau diganti dengan empangan baharu, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata kajian tersebut amat penting bagi memastikan empangan terbabit cukup stabil dan kukuh bagi mengelakkan malapetaka yang besar jika ia pecah.

"Pertama, mana yang tidak selamat untuk dibaik pulih atau memerlukan kos yang tinggi, kita terpaksa buat keputusan untuk buat empangan baharu.

"Yang kedua, faktor kapasitinya. Mungkin dahulu ketika ia dibina taburan hujan kurang, tetapi dengan keadaan iklim yang berubah mungkin kemampuannya tidak sesuai untuk waktu sekarang," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Sumber Air Negara ke-10 dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Perdana Putra, di sini pada Khamis.

Sementara itu, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr James Dawos Mamit berkata terdapat beberapa empangan yang telah lama digunakan di negara ini dengan yang tertua iaitu Empangan Bukit Merah di Perak dibina seawal tahun 1905.

"Jika tidak selamat untuk digunakan, ia perlu ditutup untuk kerja-kerja baik pulih bagi memastikan ia cukup kukuh untuk digunakan semula," katanya.

Mengenai pengurusan sumber air, beliau berkata taburan hujan di Malaysia adalah 973 bilion meter padu setahun tetapi hujan yang digunakan untuk tujuan bekalan domestik atau komersial hanya 15 peratus atau 74 bilion meter padu.

Beliau berkata ia berpunca daripada aktiviti penerokaan tanah yang menyebabkan air hujan tidak mengalir ke kawasan tadahan.
"Berkaitan sumber air, yang amat penting adalah pengurusan. Jabatan Pengairan dan Saliran mempunyai pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu bagi memastikan ia terpelihara supaya dapat memaksimumkan pengaliran air ke kawasan tadahan," katanya.

-Awani

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget