Dapatkan kembali autonomi, gunakan semula Inggeris dalam semua matapelajaran


SEKILAS PANDANG: Kesatuan Guru-Guru Sarawak (STU) sentiasa dikenali mengambil pendekatan yang realistik dan praktikal dan kerana itu cadangan dan pandangan mereka terhadap isu pendidikan bukan sekadar retorik semata-mata.

Kini STU mahu Bahasa Inggeris menjadi bahasa perantara untuk semua matapelajaran, berkata dengan cara itu, masalah kelemahan kefasihan bahasa akan dapat ditangani.

Presiden STU Jisin Nyud berkata tidak cukup untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains sahaja sekiranya matlamatnya adalah mahukan pelajar yang fasih dalam bahasa itu, yang merupakan bahasa perhubungan dunia, termasuk di alam siber.

“Berdepan dengan globalisasi, kepentingan bahasa Inggeris tidak boleh dinafikan dan tidak dipedulikan memandangkan bahasa Inggeris ialah bahasa pertuturan paling utama di seluruh dunia.

“Kerana bahasa Inggeris memainkan peranan utama dalam pelbagai bidang seperti perubatan, kejuruteraan, pembangunan teknologi dan pendidikan, bahasa inilah yang perlu dikuasai penduduk Sarawak untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Untuk sekolah rendah, kita boleh bermula dengan Darjah Satu dan untuk sekolah menengah, Tingkatan Satu. Kita akan mampu mencapainya selepas enam tahun.

“Menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara di sekolah boleh membantu para pelajar dalam tugasan mereka. Di peringkat universiti pula, kebanyakan rujukan adalah dalam bahasa Inggeris.

“Kita mahu para pelajar kita untuk diiktiraf dan diterima di peringkat dalam dan luar negara.”

Jisin berkata untuk permulaan negeri boleh menggaji semula pesara guru dan pensyarah serta pada masa yang sama memulakan latihan para guru di universiti dan institusi pendidikan.

Katanya STU mahukan autonomi pendidikan kerana mereka mahu Sarawak menggunakan autonomi itu untuk berubah kembali kepada sistem lama di mana bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa perantara di sekolah-sekolah negeri itu.

“Sekiranya kita mampu melakukannya pada tahun 50an, 60an dan 70an, apa bezanya dengan masa sekarang? Ia boleh dilakukan,” Jisin dipetik sebagai berkata.

Ya, Sarawak pasti boleh buat. Zaman sekarang kita mempunyai pelbagai buku untuk membantu dalam proses pengajaran. Dan kita juga mempunyai Internet, juga, di mana maklumat hanya dihujung jari.

Ketika kita mula-mula bermula, pensil juga sukar dijumpai apatah lagi mendengar kewujudan kertas A4.

Di Samarahan pada tahun 1962, kita bermula dengan buku Tangga dan terpaksa untuk membaca “A pan and a man”.

Sebelum itu kita tidak mengenali buku. Bahan bacaan terhampir yang kita miliki ialah kertas pembungkus tin Milkmaid yang mempunyai gambar The Beatles, Rolling Stones, Elvis Presley, Cliff Richard, dan sebagainya lengkap dengan biodata mereka dan beberapa baris lirik lagu, yang kita tidak baca pun.

Kakak saya Roseni Wan Ulis barangkali bernasib baik kerana dia bersekolah yang terletak di kawasan bandar Kuching.

Sementara di Samarahan pula kami belajar bahasa Iban dan Melayu, di Kuching Roseni juga belajar bahasa Cina- dialek Cina tempatan.

Tetapi, pastinya, pengajaran dan pembelajaran ketika itu tidak dipengaruhi oleh politik, yang merupakan tulang belakang sistem masa kini.

Sebilangan guru kami hanya menamatkan pengajian Darjah Enam. Mereka tidak berkelulusan Common Entrance Examination pun tetapi mereka mengajar kami dengan baik.

Beberapa orang guru pula merupakan lulusan Kolej Latihan Perguruan Batu Lintang, kebanyakan mereka mempunyai kelulusan Junior Cambridge Examination sementara hanya beberapa orang sahaja mempunyai kelulusan Senior Cambridge Examination.

Menjelang tamatnya tahun pertama, kami sudahpun bercakap dalam bahasa Inggeris dan membaca buku teks kami dengan gaya menyanyi.

Kini, kita semua tahu yang para guru keliru dengan sistem yang dipolitikan, malah dasar yang sering bertukar-tukar memburukan keadaan.

Masalah ini- sistem pendidikan yang dilayan seperti bola sepak- perlu ditangani.

Bagi Sarawak, sekiranya autonomi pendidikan ialah jalan keluar, biar kita bersama-sama mendapatkannya. Kita telah membazirkan banyak masa kepada sebuah sistem yang menjadikan para graduan kita kurang berdaya saing.

Cadangan STU untuk bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa perantara di sekolah-sekolah kita ialah praktikal dan realistik.-The Ant Daily

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget