SEDC meraikan 61 kanak-kanak daripada rumah kebajikan


KUCHING: Seramai 61 kanak-kanak daripada dua rumah kebajikan diraikan pada Majlis Titian Kasih anjuran Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), petang semalam.

Mereka  terdiri daripada 21 kanak-kanak daripada Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol, Sri Aman, 36 kanak-kanak dari Rumah Kanak-Kanak Batu 12 Kuching dan empat anak yatim warga SEDC.

Berlangsung di Hotel Grand Margherita di sini, majlis lebih bermakna dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Datuk Seri Ragad Kurdi Taib.

Selain menerima hadiah dan sumbangan duit raya SEDC, kanak-kanak tersebut turut menerima sumbangan peribadi daripada Tun Taib dan Toh Puan Ragad.



Sebagai menghargai jasa Tun Taib dan Toh Puan Ragad, kanak-kanak tersebut menyampaikan cenderamata berupa lukisan tangan dan potret Kubu Alice bersejarah di Sri Aman sebagai kenangan.

Majlis Titian Kasih merupakan acara tahunan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SEDC bertujuan mendekati masyarakat terutama kumpulan yang kurang bernasib baik dan memerlukan.

Ia telah dimulakan pada 2008 sebagai aktiviti tahunan SEDC dan dianjurkan sama ada di Astana atau tempat-tempat lain termasuk di rumah kebajikan kanak-kanak itu sendiri.

Objektifnya adalah untuk memberi layanan baik serta menyediakan keperluan mereka serta menggembirakan mereka pada bulan Ramadan ini.

Selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan berlangsung di Restoran Meisan, kanak-kanak berkenaan dibawa menikmati hidangan makan malam di Original Macam-Macam Ada.

Turut hadir Pengerusi SEDC yang juga Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip dan Pengurus Besar SEDC Soedirman Aini.-Utusan Borneo

Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget