Projek bekalan air terus dilaksana


Lima kampung di Spaoh, Debak terima air bersih dalam dua tahun lagi
KUCHING: Lima kampung di Spaoh dan Debak akan mendapat bekalan air bersih selepas projek pemasangan paip dari Kampung Mangut ke Kampung Tuie, Kampung Serabang, Kampung Medang, Kampung Supa dan Kampung Buda dilaksana dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Razi Sitam berkata selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini dan pertemuan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), peruntukan sebanyak setengah juta ringgit sudah dilulus bagi kerja menyambung paip dari Kampung Mangut ke lima kampung berkenaan.
“Seperti Kampung Buda, projek pemasangan paip memakan belanja lebih RM4 juta sedang dijalankan sekarang. Manakala Kampung Tuie, Serabang, Sepak dan Medang sepatutnya dipasang dengan paip di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
“Bagaimanapun, kita berharap projek ini dapat dilaksanakan dengan cepat,” kata-nya dan menambah projek itu akan mula dilaksanakan tahun depan.
Razi berkata demikian pada majlis rumah terbukanya di Debak pada Hari Raya pertama, Jumaat lepas.
Mengenai masalah ke-kurangan air pada musim kemarau di kawasannya, beliau memberitahu beberapa buah kampung yang tiada air telah dibekalkan dengan air dan tangki air terutamanya kawasan yang tidak ada paip.
“Seperti sekarang, air di Debak pada siang hari adalah sedikit dan hanya ada air pada waktu malam.
“Kami sudah menghantar air dan tangki air ke kawasan terjejas teruk akibat kemarau seperti Kampung Medang dan Buda (dalam 10 hingga 15 kilometer dari Kampung Mangut yang sudah ada air) serta beberapa kampung lain yang menghadapi masalah kekurangan air,” katanya.
Selain itu, katanya di kawasan perkampungan Melayu yang merangkumi kira-kira lapan kampung dan perkampungan Iban iaitu rumah panjang di Lubok menghadapi masalah kekurangan air pada musim kemarau.
Bagaimanapun, katanya untuk rumah panjang di Lubok, kerja memasang paip sedang dijalankan serentak dengan Kampung Buda.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget