KUCHING: Insiden pergaduhan di Plaza Lowyat, di Kuala Lumpur baru-baru ini seharusnya tidak dijadikan isu perkauman kerana ia hanya akan menjejaskan Perpaduan pelbagai kaum yang mantap di negara ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perkara itu tidak seharusnya diperbesar-besarkan sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
‘Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku dalam negara yang mempunyai perpaduan dan kesefahaman mantap dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Kalaulah ia berlaku, ia mesti dihentikan secepat mungkin dan perkara paling penting, tindakan undang-undang sewajarnya mesti diambil ke atas mereka yang bersalah.
“Jangan pula ia dijadikan isu perkauman yang hanya menjejaskan perpaduan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini semalam.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai insiden pergaduhan di Plaza Lowyat Kuala Lumpur Ahad lalu.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah (BKKH) kepada 600 pekebun kecil dari daerah kecil Bau di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak.
Bernama dalam laporannya Ahad lepas memetik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata kejadian pada jam 7.38 malam itu berpunca daripada perasaan tidak puas hati suspek yang ditahan pegawai keselamatan Plaza Lowyat kerana dituduh mencuri sebuah telefon bimbit.
“Pengawal keselamatan bertindak menyerahkan remaja itu kepada pihak polis, lanjutan daripada itu, remaja terbabit menghubungi rakan-rakannya lalu bertindak memukul pekerja di situ dan memecah barang-barang di dalam kedai terbabit yang menyebabkan kerugian dianggarkan bernilai RM70,000,” katanya. -Borneo Post.

Post a Comment