MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan rakyat negeri ini mahu Sarawak diberi kuasa sepenuhnya atau kuasa autonomi dalam bidang dan sistem pendidikan dengan memiliki kementeriannya sendiri di peringkat negeri.
SUPP mendakwa pihak berkuasa dalam pendidikan peringkat persekutuan tidak dapat menguruskan hal-hal pendidikan di negeri ini dengan menggunakan kuasa ‘kawalan jauh’.
“Kita di Sarawak lebih memahami isu-isu berhubungsistem pendidikan di negeri kita sendiri dan kita boleh menguruskan dasar pendidikan sendiri dengan lebih baik, berbanding apa yang dilakukan kerajaan pusat ketika ini,” kata Setiausaha Kehormat SUPP Datuk Sebastian Ting.
Beliau menegaskan perkara itu ketika mengulas mengenai tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia yang bertindak ‘tidak adil’ terhadap Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong Marcus Hugo dengan memindahkan beliau ke sekolah lain meskipun sudah hampir bersara.
Menurut Sebastian, sebaik mendengar tentang pemindahan Marcus ke sebuah sekolah menengah lain beliau kurang senang dengan keputusan dianggap tidak masuk akal itu, lebih-lebih lagi ramai pihak beranggapan ia berkaitan dengan isu menimpa Sabrina pada Mac tahun ini, menyebabkan dua guru yang bertanggungjawab dipindahkan semula ke Semenanjung Malaysia.
“Kita berharap pemindahan itu bukan sebagai ‘balas dendam’ kerana kes yang berlaku ke atas Sabrina itu kerana rakyat percaya pihak berkuasa pendidikan di Sarawak tidak melakukan tindakan seperti ini yang dianggap tidak logik dan tidak adil bagi SUPP.
“Justeru, pulangkan bidang kuasa pendidikan atau autonomi pendidikan kepada Kerajaan Negeri Sarawak kini keutamaan kepada parti ini ialah kita akan serius dalam mendapatkannya,” tegasnya.
Menurut Sebastian, beliau dimaklumkan oleh Marcus bahawa surat berpindah tugas bertarikh 25 Mei 2015 daripada Kementerian Pendidikan di Kuala Lumpur mengarahkan beliau berpindah ke sekolah lain dan melapor diri di sekolah berkenaan pada 15 Jun lalu.
Bagaimanapun, surat berkenaan dihantar terlebih dahulu kepada Jabatan Pendidikan di Kuching dan kemudian dihantar kepada beliau menggunakan pos biasa hanya diterima beliau pada 2 Julai lalu.
Menurut Marcus, beliau sudah memohon persaraan awal dan jika diluluskan beliau akan bersara pada Disember 2016.
Sementara itu, PIGB SMK Lutong juga menghantar surat rayuan kepada Kementerian Pendidikan di Kuala Lumpur dan Jabatan Pendidikan di Kuching meminta Marcus dikekalkan sebagai pengetua di sekolah berkenaan sehingga beliau bersara.
Turut berkongsi perkara sama ialah Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS) yang turut memperjuangkan agar autonomi pendidikan Sarawak turut dikembalikan kepada negeri ini.
PEDAS, dalam kenyataan berasingan mempersoal tindakan Kementerian Pendidikan kerana bertindak memindahkan Marcus ke sebuah sekolah menengah lain di Miri dan bukannya menaikkan pangkat beliau.
Presiden PEDAS Mejar (B) Kapten Collin Imran berkata berdasarkan pencapaiannya, pengetua terbabit berhak dikekalkan dan layak diberi kenaikan pangkat apatah lagi beliau adalah salah seorang daripada hanya beberapa orang yang layak dilantik menjadi pengarah pendidikan negeri.
“Perkara seperti inilah menjadi alasan kenapa kita perlu mendapatkan balik autonomi pendidikan kita, kerana kerajaan pusat sentiasa mempunyai alasan ‘menakutkan’ selain pelbagai penafian seperti yang biasa dilakukan.
“Terlalu nampak sangat bahawa intelektual Dayak yang berkelayakan, kerap kali dipinggirkan dan dinafikan sejak sekian lama, jika tidak di semua kawasan, perkara seperti ini akan berlarutan sehinggalah seseorang akan tampil untuk bersuara,” jelas Collin.
Sehubungan itu, PEDAS dengan lebih 4,000 ahli di seluruh negeri meminta penjelasan wajar daripada Kementerian Pendidikan berhubung perintah berpindah tugas yang diberikan kepada Marcus. -Borneo Post.

Post a Comment