DR SIM TIDAK HARUS TUDUH UPP TIDAK IKHLAS BERKOMPROMI, KATA GEORGE LO


BINCANG: Lo (dua kanan) bersama Wong (tiga kiri) dan pemimpin UPP lain berbincang sesuatu dengan Abang Johari semasa kunjungan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di DBP pada Jumaat lepas.
KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senator Datuk Dr Sim Kui Hian tidak harus menuduh Parti Rakyat Bersatu (UPP) tidak ikhlas untuk berkompromi kerana beliau tidak pernah mahu duduk berbincang dengan pemimpin UPP.
Setiausaha Agung UPP George Lo berkata, sebaliknya Dr Sim lebih mementingkan untuk meletakkan calon di kesemua 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) SUPP berbanding berbincang demi kebaikan komuniti.
Menurutnya setiap kali mengeluarkan kenyataan Dr Sim berulang kali menyatakan pendirian bahawa tidak ada yang lebih dimahukan oleh SUPP melainkan semua 19 kerusi mereka.
“Kami menjemput mereka (SUPP) secara awam dan peribadi selama ini namun hari ini (Jumaat) Dr Sim sekali lagi membuat kenyataan dalam akhbar (berbahasa Cina) menyatakan UPP tidak ikhlas dalam usaha kompromi.
“Namun baharu tadi (Jumaat) semasa kunjungan Hari Raya ke rumah Yang di-Pertua Negeri kami berjumpa beliau (Dr Sim) dan bertanya mengenai tuduhannya, beliau menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menyatakan demikian tetapi disalah petik akhbar berkenaan.
“Jika benar ia salah petik akhbar berkenaan, kami gembira dan menghargai bahawa beliau mahu kompromi, jika beliau mahu kami mahu dan mari kita duduk bersama dan berbincang mengenai bagaimana kita dapat berkompromi untuk perpaduan kaum Cina,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa berkunjung ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Menteri Pelancongan merangkap Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, Jumaat lepas.
Turut hadir pada majlis rumah terbuka berkenaan Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh serta pemimpin UPP lain.
Lo menegaskan, Dr Sim tidak boleh menuduh mereka tidak ikhlas dalam usaha berkompromi untuk kedua-dua pihak kerana beliau tidak pernah sama sekali duduk bersama dan berbincang dengan pihak UPP.
Namun mereka tetap tidak mahu berkompromi dan masih mahu meletakkan calon di semua 19 kerusi DUN, maka UPP begitu juga di mana mereka mencadangkan 19 kerusi DUN untuk parti, tegas beliau.
Menurutnya, sebagaimana yang dinyatakan Ketua Menteri sebelum ini ia adalah persoalan kepada calon boleh menang dan adalah tidak wajar jika Barisan Nasional tetap terus memberi kerusi yang sudah dijangka akan tewas.
“Siapa sahaja calon boleh menang harus menjadi calon dipilih dengan itu baharu BN mempunyai peluang memenangi kerusi.
“Jika mereka masih mahukan 19 kerusi begitu juga UPP akan mencadangkan 19 kerusi, namun sekali lagi ia terpulang kepada kebijaksanaan Ketua Menteri membuat keputusan calon mana harus dipilih untuk kerusi tertentu,” kata beliau. -Utusan Borneo.
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget