Pemuda Umno menegaskan parti Melayu itu tidak terdesak dan tidak akan merayu untuk bekerjasama dengan PAS.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Ketua Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang meminta supaya PAS menimbang semula keputusan Majlis Syura Ulama yang menetapkan untuk tidak mempunyai kerjasama.
"Lemah sangat kita nak merayu orang ambil kita. Malulah. Kalau orang tak nak kerjasama dengan kita tak payahlah kita merayu.
"Kita jalan atas kekuatan diri kita sendiri. Kalau nak bincang isu-isu besar, kalau nak ada persetujuan mengenai pendirian dua parti politik Melayu terbesar tak ada masalah.
"Tapi kalau nak merayu mereka supaya mereka ambil kita sebagai kawan dan sebagainya tak payahlah. Kita tidak terdesak sebegitu sekali," katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco Pemuda Umno di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Syed dalam blognya umnobahagiancheras.blogpsot.my meminta PAS mempertimbangkan semula perkara itu kerana Umno sememangnya ikhlas untuk menjalinkan kerjasama dengan parti itu demi kepentingan dan masa depan Melayu, khususnya umat Islam di negara ini.
Katanya, Majlis Syura Ulama PAS sepatutnya terlebih dahulu mengadakan pertemuan atau perbincangan tidak rasmi dengan Umno sebelum membuat sebarang keputusan yang tidak menguntungkan politik orang Melayu.
- The Malaysian Insider
Post a Comment