Ia bermula daripada Perdana Menteri terdahulu dan semakin teruk setiap kali Perdana Menteri baharu ambil alih pentadbiran negara.
PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diselar kerana mendakwa hubungan Sarawak dan Semenanjung renggang disebabkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, berkata Perdana Menteri tidak wajar dipersalahkan kerana Dr Mahathir sendiri adalah punca hubungan yang renggang itu .
“Najib tidak seharusnya dipersalahkan. Ia bermula daripada bekas Perdana Menteri sendiri termasuk Dr Mahathir. Keadaan ini semakin teruk apabila setiap Perdana Menteri mengambil alih kuasa.
“Setiap Perdana Menteri lupa mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang melingkungi 18 perkara di Sarawak,” katanya ketika dihubungi FMT di sini, hari ini.
Ahli Perhimpunan Negeri Sarawak Ba’kelalan itu menyatakan sejak perjanjian itu, Sarawak seolah-olah dianaktirikan ekoran sering dilupakan dalam projek pembangunan negara.
Sebelum ini, Dr Mahathir dalam temubual eksklusif bersama FMT menyatakan Kerajaan Persekutuan pimpinan Najib harus dipersalahkan ekoran kerenggangan Sarawak dan Semenanjung.
“Saya tidak tahu bagaimana pendapat orang Sarawak. Tetapi kita nampak semakin renggang dan masing-masing bercakap mengenai Sarawak.
“Seolah-olah Sarawak ini tiada dalam Malaysia kerana lebih kepada Sarawak,” ujarnya.-Free Malaysia Today
Post a Comment