Tiong yakin Penguang berupaya memenangi kerusi Marudi


BAKONG: Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri Tiong King Sing yakin calon baharu, Datu Dr Penguang Manggil berupaya memenangi kerusi N76 Marudi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Tiong memberitahu, dengan mengambil kira rekod cemerlang dalam perkhidmatan kerajaan dan memegang jawatan tinggi selama 36 tahun, Penguang seorang calon yang berkaliber dan mempunyai peluang tinggi untuk menang.

“Bukan hanya memenangi kerusi malah Penguang seorang calon yang mempunyai kemampuan dan kompeten untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik.

“Berdasarkan pemerhatian saya semasa lawatan kerja ke beberapa kawasan Marudi, saya dapati rakyat gembira dengan Penguang dan melahirkan sokongan kepadanya untuk membawa angin perubahan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di rumah panjang Blok C, Sungai Entulang, Bakong kelmarin.

Tiong menambah, parti mengambil serius dan mengutamakan pandangan rakyat yang hanya mahukan wakil rakyat yang berpengalaman dan saksama seperti Penguang.

“Saya yakin Penguang mampu berkhidmat dengan penuh adil dan saksama dan tidak akan melakukan sesuatu yang boleh mengguris perasaan rakyat.

“Sekiranya beliau diberi mandat sebagai wakil rakyat, beliau akan berkhidmat kepada rakyat di Marudi dan melakukan apa yang tidak dilaksanakan sebelum ini,” katanya.

Tiong berharap sesiapa sahaja calon yang bertanding di Marudi haruslah seorang anak tempatan yang arif dan tahu keperluan rakyat yang diwakilinya.

Mengenai penyandang kerusi N76 Marudi sekarang iaitu Datuk Sylvester Entri Muran, Tiong berkata beliau tidak mahu mengulas kerana perbuatan mengutuk orang lain bukan budaya parti.

“Bukan budaya SPDP untuk menconteng arang pada individu lain walaupun individu tersebut mungkin tidak adil dan pilih kasih,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget