KUALA LUMPUR – Kestabilan pakatan pembangkang baharu yang dianggotai DAP, PKR dan PAN adalah bergantung kepada pematuhan terhadap arahan parti yang paling dominan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perjanjian yang dibuat secara bertulis tidak semestinya menjamin ikatan konkrit antara ketiga-tiga parti dalam pakatan tersebut.
Menurut beliau, DAP yang dilihat dominan dalam pakatan pembangkang baharu itu mungkin menggunakan kelebihan berkenaan untuk menentukan peraturan yang mesti dipatuhi parti-parti lain.
“Berdasarkan pengalaman Pas dalam pakatan pembangkang dahulu, tiada perjanjian bertulis tetapi apabila wujud percanggahan, parti yang menganggap pihaknya dominan akan menggunakan kelebihan itu.
“Jika parti itu melakukan kesilapan, tidak mengapa. Tetapi jika parti lain buat keputusan atas kepentingannya sendiri maka parti tersebut pula yang dianggap melanggar permuafakatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Takiyuddin mengulas tentang perjanjian kerjasama politik ditandatangani DAP, PKR dan PAN semalam yang membolehkan mereka menggugurkan mana-mana parti yang didapati melanggar serta tidak menepati kerjasama dalam pakatan pembangkang.
Perjanjian dibuat susulan kerjasama politik menerusi pakatan sebelum ini gagal ekoran Pas dan DAP masing-masing memutuskan hubungan kerana perbezaan pendirian dalam isu-isu tertentu antaranya pelaksanaan hudud dan kemelut jawatan Menteri Besar Selangor.
Beliau menambah, dominasi dalam pakatan pembangkang baharu itu juga bergantung kepada kekuatan dan keanggotaan parti serta bilangan wakil rakyat di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Takiyuddin memberitahu, perjanjian tersebut tidak memberi sebarang kesan terhadap Pas kerana parti itu tidak mempunyai kaitan dengan pakatan pembangkang baharu.
“Kita akan terus bekerjasama dengan PKR. Perjanjian berkenaan tidak menjejaskan hubungan antara Pas dan PKR,” jelasnya.
- Utusan Online
Post a Comment