PH dukung hak Bumiputera, Islam, Raja, Bahasa, Sabah dan Sarawak



SHAH ALAM: Pakatan Harapan berikrar untuk melindungi hak keistimewaan Bumiputera, Islam sebagai agama Persekutuan, Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, dan kedudukan Sabah dan Sarawak.

Wakil DAP, Anthony Loke berkata perikatan itu akan mendukung peruntukan-peruntukan penting yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menjelaskan kandungan perjanjian antara komponen PH yang dimeterai hari ini, Anthony berkata kedudukan Islam akan dilindungi dan dimartabatkan sebagai agama Persekutuan, dan dalam masa yang sama memastikan agama-agama lain boleh diamalkan selaras dengan Perkara 3.

“Kita akan melindungi kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak selaras dengan Perkara 153, kita akan pertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan,” katanya ketika berucap membentangkan Perjanjian Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Perikatan itu juga akan mendukung Bahasa Melayu serta mengukuhkan pengunaan bahasa itu sebagai bahasa perantaraan dan bahasa ilmu. Dalam masa yang sama melindungi bahasa vernakular, serta memperhebatkan penggunaan bahasa Inggeris bagi menambahbaik daya saing negara di peringkat antarabangsa.

Menyentuh soal Sabah dan Sarawak pula, Anthony berkata keistimewaan dua negeri itu akan diiktiraf selaras dengan peruntukan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963.

Anthony berkata dasar bersama PH nanti akan mengambil kira pandangan daripada pelbagai institusi awam dan agama, kumpulan hak asasi masyarakat, wanita, belia, siswa, profesional dan kaum minoriti.-FMT

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget