SHAH ALAM: Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yakin partinya mampu menggantikan UMNO dan PAS, khususnya bagi mendapatkan undi orang Melayu di kawasan pedalaman.
Ketika menjawab soalan pemberita berhubung mengisi jurang yang ditinggalkan PAS, beliau dengan yakin menegaskan AMANAH merupakan parti yang paling pantas berkembang di Malaysia.
“Benar AMANAH baru berusia tiga bulan dan tiga minggu, tetapi kami adalah parti yang paling pantas berkembang.
“Maka, kami akan mengantikan – KEADILAN dan DAP dan…AMANAH – akan menggantikan PAS dan UMNO. Saya amat yakin pada pilihan raya akan datang,” katanya dalam sidang media selepas tamat Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini hari ini.
AMANAH dilancarkan pada sambutan Hari Malaysia iaitu 16 September lalu oleh barisan pemimpin PAS yang tewas pada muktamar pemilihan 2015.
Terdahulu, dalam ucaptamanya, Mohamad Sabu yang merupakan bekas Timbalan Presiden PAS menyatakan, AMANAH komited untuk memberikan sumbangan maksimum dalam pakatan pembangkang baharu itu, termasuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Kami akan terus bekerja kuat dan anda lihatlah kekuatan kami nanti.
“Laluan getir kita adalah PRN Sarawak. Walaupun sedar kami ini `parti adik’, kami berjanji akan memberikan kerjasama dan berusaha sekuat mungkin,” ujarnya.-FMT
Post a Comment