Jerip: Hubungkan kampung dengan jalan cabaran besar

Ia diyakini dapat dihadapi berikutan pembahagian kawasan selepas Serian dinaik taraf jadi bahagian

KUCHING: Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil berkata cabaran paling besar bakal dihadapinya ialah memastikan beberapa kampung di Ulu Padawan dekat sini dihubungkan dengan sistem jalan raya.

Beliau berkata kampung-kampung berkenaan ialah Simuti, Sadir, Sibakar, Sebuang, Kiding, Parang, Asom dan Kekas yang sebahagian daripadanya sebelum ini di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat.

Namun ADUN Mambong (yang dahulunya dikenali Bengoh) itu yakin cabaran tersebut dapat dihadapi dengan baik berikutan pembahagian semula kawasan selepas Serian dinaik taraf sebagai bahagian baharu.

Menurutnya objektif utama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menaik taraf Serian sebagai bahagian ke-12 di negeri ini ialah membolehkan pembangunan infrastruktur tertumpu di kawasan pedalaman Kuching dan Serian.

“Umum sedia maklum pembangunan infrastruktur di Ulu Padawan masih ‘senyap’ lebih-lebih lagi jalan penghubung yang melibatkan beberapa kampung antaranya Simuti, Sadir, Sibakar, Sebuang, Kiding, Parang, Asom dan Kekas.

“Inilah cabaran paling besar yang akan saya hadapi selain memastikan pembangunan ekonomi di kawasan ini dimajukan menerusi pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dokumen Rasmi Pejabat Daerah Tebedu, Daerah Kecil Siburan dan Pejabat Daerah Kecil Padawan di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Kecil Padawan dekat sini, semalam.

Dr Jerip turut meminta penduduk di kawasan terlibat melihat secara positif pembahagian semula kawasan dan kampung berikutan pengisytiharan Serian sebagai bahagian demi kebaikan bersama.

Beliau berkata keputusan menjadikan Serian bahagian baharu mengambil kira banyak pertimbangan bersama melibatkan pelbagai aspek dan ia sudah mengambil masa untuk melaksanakannya.

“Saya berharap hubungan baik kawasan atau kampung yang terpisah disebabkan pembahagian baharu ini akan berterusan dan ia harus dilihat secara positif yakni untuk merancak-kan lagi pembangunan khususnya di pedalaman.

“Oleh sebab itu, saya meminta pemimpin akar umbi di kawasan terlibat sama ada dalam Kuching atau Serian bekerjasama dengan pegawai daerah di kawasan masing-masing mencari penyelesaian terbaik kepada masalah pembangunan infrastruktur serta ekonomi di kawasan ber-kenaan,” ujarnya. - Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget