DUN Machan: Penduduk mahu calon tempatan


MIRI: Sekumpulan penduduk dan pengundi dari Machan yang bekerja di Miri sekali lagi meminta pucuk pimpinan PKR supaya mempertimbang semula keputusan meletakkan calon bukan orang tempatan di kerusi berkenaan.

Menurut mereka, jika PKR benar-benar mahu menawan kerusi tersebut daripada Barisan Nasional (BN) maka mereka perlu meletakkan calon anak jati tempatan menentang calon BN yang juga orang tempatan.

Menurut salah seorang wakil mereka, Matthew Baba selain bukan calon tempatan, PKR memilih calon berbangsa Cina (yang pernah tewas di kerusi tersebut) bertanding di kawasan majoriti Iban sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati kalangan penyokong PKR di kawasan tersebut.

“Jika difikirkan secara logik, kira-kira 96 peratus pengundi di Machan adalah Iban dan tidak wajar bagi calon bukan Iban bertanding di kawasan tersebut,” katanya.

Menurut Matthew, isu-isu di Machan adalah isu tempatan lebih-lebih lagi berkaitan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang beliau amat yakin hanya mampu ditangani oleh calon tempatan kaum Iban di kawasan itu sendiri dan bukannya calon luar yang bukan Iban.

“Sebaliknya, PKR meletakkan calon luar yang bukan penduduk tempatan, saya yakin persoalan pertama dibangkitkan penduduk dan pengundi di kawasan Machan ialah “bolehkah kita mempercayai orang luar atau calon bukan Iban, memperjuangkan kepentingan kita di Machan?”.

Matthew memberitahu demikian pada sidang media di sini semalam, ketika meng-ulas mengenai kenyataan Naib Presiden PKR, See Chee How menekankan George Chen sebagai calon pilihan PKR di Machan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016 ini jangka pada Mac depan.

Pada PRN 2011, Chen tewas di tangan penyandang kerusi Machan selama lapan penggal, Datuk Gramong Juna yang (BN-PBB) yang memperolehi 3,683 undi berbanding Chen (2,054) .

Di sebalik pilihan pemimpin tertinggi PKR itu, penduduk khusus pengundi tempatan menyuarakan pilihan mereka sendiri iaitu Semawi Paong, anak jati Machan berasal dari Rumah Sandah, Hulu Machan yang berpendidikan tinggi dan bekerja dengan Sarawak Shell Berhad (SSB) di sini ketika ini.

“Kami menyokong sepenuhnya pilihan penduduk tempatan dan jika diberi pilihan oleh PKR untuk bersuara, saya pasti peng-undi dan penyokong PKR di Machan akan sebulat suara menyokong Semawi untuk menjadi calon mereka menentang calon BN, Datuk Gramong Juna ataupun anak lelaki beliau.

“Tambahan Semawi turut menunjukkan kesungguhan beliau memperjuang kepen-tingan, hak, tuntutan dan sebagainya bagi penduduk di Machan dan kami memberikan sokongan padu kepada beliau kerana beliau lebih mengenali Machan daripada calon luar.

“Kalau kami mahu men-dekati beliau, senang, kalau kami ingin menyuarakan masalah kepada beliau, mudah dan ingin bertemu dengan beliau untuk mengadu atau berbincang mengenai sesuatu, tidak sukar kerana kami boleh duduk semeja,” tambah Matthew.

Kenyataan Matthew di-sokong Sumping Jambang yang turut berasal dari Hulu Machan serta Alberta Nasat yang memberitahu bahawa berbanding dengan Chen, Semawi lebih mengenali penduduk Machan dan keperluan mereka.

“Jika kita ada anak jati dari Machan berpendidikan tinggi dan lebih mengenali Machan itu sendiri dan mendapat sokongan pengundi dan penduduk, kenapa kita perlu memilih calon dari luar yang tidak tahu mengenai masalah dan isu-isu berkaitan masyarakat Iban di Machan,” jelasnya.

Kedua-dua mereka bersetuju dengan Matthew bahawa KPI yang bagus semata-mata tidak cukup menarik undi penduduk jika calonnya bukan pilihan penduduk.

Menurut Alberta, tindakan PKR memilih calon luar bukan Iban dijadikan isu mudah oleh calon BN menentang mereka kerana bukan penduduk tempatan dan lebih-lebih lagi bukan Iban.

“Masalah kaum Iban, hanya pemimpin Iban sahaja mampu menyelesaikannya. Bukan memperkecil calon kaum lain, namun dalam situasi di luar bandar seperti Machan, penduduknya lebih senang membicarakan masalah se-perti dengan pemimpin dari kaumnya sendiri yang faham situasi sebenar serta adat dan budaya,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget