Dr Sim nafi sokong Rang Undang-Undang MKN



KUCHING: Senator Datuk Dr Sim Kui Hian mencabar Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menunjukkan bukti bahawa beliau menyokong Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau yang juga presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata rang undang-undang ini tidak melalui pengundian sebaliknya hanya undi suara sahaja.

“Saya membantah rang undang-undang ini dan tidak menyokongnya. Jadi saya harap orang ramai tidak salah faham dengan dakwaan pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis di Pusat Persatuan Komuniti Kenyalang Park di sini, semalam.

Dr Sim turut menyatakan kekesalan terhadap pembangkang khususnya DAP Sarawak yang menuding jari terhadapnya berhubung kelulusan Rang Undang-Undang MKN.

Krismas lepas, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata Akta MKN jelas menunjukkan kepura-puraan SUPP apabila Dr Sim hanya berdiam diri dan tidak membantah akta tersebut.

Tambah Chong, apabila rang undang-undang tersebut melalui undian di Parlimen, Dr Sim dan rakan-rakan Barisan Nasional (BN) yang lain semuanya memberi sokongan penuh kepada rang tersebut.

Ditanya sama ada beliau masih membantah akta itu, Dr Sim memberitahu beliau difahamkan bahawa kerajaan persekutuan akan melakukan pindaan ke atas akta itu.

Bagaimanapun beliau tidak mengetahui maklumat terperinci mengenai pindaan itu.

Di bawah akta ini, majlis mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan di Malaysia sebagai kawasan keselamatan.

Setelah diisytiharkan anggota keselamatan berhak untuk memasuki, menahan individu, mencari dan menyita harta tanpa waran mahkamah.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget