Adenan terus berusaha meringankan beban rakyat

Beliau rancang turun kadar cukai taksiran hartanah, bergantung kepada peruntukan daripada k’jaan pusat
KUCHING: Selepas melaksanakan banyak perkara yang meringankan beban rakyat Sarawak dalam tempoh hampir dua tahun menjadi Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem kini merancang menurunkan kadar cukai taksiran hartanah di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya perkara itu masih dalam kajian di mana pelaksanaannya adalah bergantung kepada peruntukan yang diperolehi kerajaan negeri daripada kerajaan pusat.

“Saya akan berunding dengan kerajaan pusat untuk menambah peruntukan negeri dan kalau ini berjaya, saya mahu menurunkan cukai taksiran hartanah.

“Tetapi ini masih dalam kajian dan bergantung kepada peruntukan daripada kerajaan pusat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Agenda Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Perumanahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) merangkap menteri bertanggungjawab terhadap DBKU Datuk Daud Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

Selain itu, Adenan berkata beliau akan turut melaksanakan projek jangka panjang iaitu membina Taman Burung di Bukit Siol, Petra Jaya.

“Kita mahu membina Taman Burung di Bukit Siol terutama bagi burung kenyalang kerana ramai orang tahu dan mendengar sahaja tetapi tidak pernah melihatnya.

“Ini rancangan jangka panjang dan saya percaya dengan adanya kepimpinan DBKU serta sokongan berterusan daripada kerajaan negeri maka ia akan dapat dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata akan menambah peruntukan kepada DBKU untuk terus meningkatkan pembangunan di kawasan seliaannya.

“Baru-baru ini saya telah memberikan RM27 juta kepada DBKU untuk membuat jalan dan melaksanakan pelbagai lagi pembangunan lain.

“Jika peruntukan ini digunakan dengan baik maka saya akan menambahnya lagi,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget