BAU: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dengan rasminya memperkenalkan William Jinep sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru.
Pengumuman itu dibuat pada Majlis Makan Malam Solidariti Barisan Nasional (BN) Tasik Biru malam kelmarin (Sabtu).
Ia selepas komponen Barisan Nasional (BN) Tasik Biru iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan terbuka menyatakan sokongan penuh kepada calon dicalonkan SPDP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Majlis yang diadakan di Dewan Kelab Sukan dan Rekreasi Singai dekat sini dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Setiausaha Agung SPDP Anthony Nogeh Gumbek.
Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri yang juga Setiausaha Agung PRS dan Ketua PRS Tasik Biru Datuk Wilfred Nissom, Pengerusi Tasik Biru John Nyigor dan Pengerusi SUPP Chong Bui Ling serta ahli daripada keempat-keempat komponen BN.
Sementara itu, Nogeh dalam ucapannya berkata majlis makan malam itu sangat istimewa kerana ia menggambarkan hubungan kerjasama yang baik ketika ini dalam kalangan parti komponen BN di konstituensi Tasik Biru.
“Ini menunjukkan Barisan Nasional (BN) menerusi komponennya iaitu PBB, SPDP, SUPP dan PRS masih kuat dan kukuh di Tasik Biru.
“Dan saya percaya menerusi kerjasama yang ada di Tasik Biru, tidak ada masalah untuk BN mempertahankan kerusi Tasik Biru pada Pilihan Raya Negeri yang dijadual tahun depan,” katanya.
Terdahulu Pengerusi SPDP Tasik Biru Michael Siten dalam ucapan aluannya berkata Tasik Biru milik SPDP dan parti itu akan menamakan calonnya untuk bertanding menggunakan tiket BN.
“Dalam hak ini kita (parti) tidak akan berkompromi,” katanya sambil menambah, SPDP Tasik Biru dalam mesyuarat agung tahunannya baru-baru ini mencapai persetujuan mencalonkan William sebagai calonnya di Tasik Biru.
Jelasnya, William dipilih kerana beliau seorang yang berpendidikan dan berkemampuan menggalas tugas sebagai wakil rakyat seterusnya, dengan mengambil kira pengalamannya yang lama berkhidmat sebagai pegawai kerajaan selaku kontroler Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).
“Kami sudah mengemukakan nama William Jinep kepada pucuk kepimpinan parti,” katanya.
Pada majlis sama, Nogeh menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM85,000 kepada gereja-gereja dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Nogeh juga berjanji memberi RM30,000 kepada Kelab Sukan dan Rekreasi Singat untuk menaik taraf dewan berhampiran Kampung Sudoh memandangkan ia semakin popular sebagai kawasan rekreasi.
SPDP sebelum ini mengesahkan ia tidak akan menyerahkan kerusi Tasik Biru kepada parti lain dan bersedia menggantikan penyandangnya, Datuk Peter Nasian Ngusie yang memenangi kerusi itu sebagai calon BN pada PRN 2011.
Nansian kini menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak selaku timbalan presiden parti itu selepas dipecat daripada SPDP.
- Borneo Post Online
Post a Comment