KUCHING: Pengharaman penggunaan rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape dalam kalangan pengguna di Sarawak masih belum diputuskan.
Menjelaskan hal itu, Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil berkata, perkara tersebut kini sedang dalam kajian terperinci untuk dibincang di kabinet negeri.
“Umum tahu bahawa dua negeri di Malaysia, Johor dan Kelantan telah mengambil langkah mengharamkan penggunaan vape di negeri masing-masing.
“Namun bagi Sarawak, kita masih meneliti secara terperinci terutama kesan dan impak vape kepada pengguna sebelum memutuskan untuk mengharamkannya di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Borneo semalam, bagi memberi penjelasan mengenai kemungkinan Sarawak mengikut jejak langkah beberapa negeri di Malaysia
yang mula mengharamkan vape di negeri masing-masing.
Namun demikian, jelas Dr Jerip, melihat ke arah sudut perubatan, Kementerian Kesihatan bersetuju menyifatkan penggunaan vape lebih banyak mendatangkan keburukan.
Katanya terdapat kandungan di dalam cecair berperisa yang digunakan yang boleh mengakibatkan kemudaratan dalam tubuh.
“Terdapat kandungan ‘formaldehyde’ atau Formalin di dalam cecair vape yang mana ia digunakan bagi mengawet (preserve) organ di dalam tubuh.
“Selain itu, kandungan nikotinnya juga lebih tinggi berbanding kandungan nikotin di dalam rokok biasa,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengulas mengenai kemungkinan penyalahgunaan vape sebagai instrumen untuk menagih dadah.
“Mod vape dan cecairnya dijual secara berasingan dan ia boleh disalah guna oleh penagih dadah yang menjadikan vape ini sebagai alat menagih sekali gus mengaburi mata masyarakat yang beranggapan bahawa ia adalah vape biasa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan berkata, pengharaman vape adalah wajar dilakukan di Sarawak kerana ia tidak mendatangkan sebarang manfaat mahupun kebaikan kepada penggunanya.
“Ingin saya tegaskan di sini, tiada kelebihan dan kebaikan sekiranya anda menghisap vape.
“Selain itu, pengguna yang memberi alasan bahawa vape boleh membantu perokok tegar berhenti merokok adalah tidak benar sama sekali.
“Ini kerana nikotin yang terkandung di dalam cecair vape boleh mengakibatkan pengguna lebih ketagih dan ia (nikotin) adalah dadah berbahaya,” katanya.
Pada masa sama, sesiapa sahaja juga boleh menghisap vape termasuk pelajar sekolah dan golongan muda memandangkan tiada undang-undang menyekat penggunaannya di negeri ini setakat ini.
Johor menjadi negeri pertama yang mengharamkan vape apabila Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, aktiviti penjualan mahupun penggunaan vape dihentikan berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.
Tindakan itu turut diikuti negeri Kelantan yang memberi notis 14 hari kepada pemilik perniagaan vape mengosongkan premis masing-masing sebelum penguatkuasaan dilaksana, juga menjelang Januari 2016.
Selain itu, terbaharu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan untuk mengikut jejak langkah dua negeri itu dengan tidak lagi mengeluarkan lesen kepada peniaga vape sekali gus mengharamkan penjualan bahan alternatif kepada rokok elektronik tersebut.
- Borneo Post Online
Post a Comment