PRS sedia bantu SUPP merampas Meradong


Ahli, pemimpin PRS cuba meyakinkan pengundi Dayak di kerusi berkenaan agar mengundi calon SUPP

BINTANGOR: Parti Rakyat Sarawak (PRS) bersedia menghulurkan bantuan kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dalam misi merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong daripada pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Naib Presiden Kanan PRS Datuk Joseph Salang Gandum berkata, ahli dan pemimpin PRS cuba meyakinkan pengundi Dayak di kerusi tersebut agar mengundi calon SUPP.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan rumah panjang baharu iaitu Rumah William Settaun sepanjang 30 pintu di Kampung Ranchak Baru, Sungai Buluh dekat sini, kelmarin.

Hadir sama ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarikei Ding Kuong Hing daripada SUPP.

Ding merupakan bekas Ahli Parlimen Sarikei daripada SUPP disebut-sebut mewakili parti itu untuk merampas kerusi DUN Meradong daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Kami sanggup menawarkan bantuan kerana SUPP adalah parti komponen BN. Jika BN berjaya memenangi semula kerusi tersebut, semua penyokong BN di kawasan itu sekali lagi akan dapat manfaat daripada peruntukan dan dana pembangunan kerajaan untuk projek-projek pembangunan.

“Rakyat juga akan mempunyai saluran untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dan masalah mereka untuk mencari jalan penyelesaian yang berkesan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Julau.

Menurutnya, Ding adalah calon SUPP yang baik dan sangat tepat kerana beliau mempunyai pengalaman dalam berkhidmat kepada rakyat.

Terdahulu, ketika merasmikan majlis meratakan tapak rumah panjang baharu di Rumah Undi di Pakan, Salang menasihati para pelobi yang mahu menjadi calon mewakili BN bagi kedua-dua kerusi di DUN Meluan dan DUN Pakan untuk terus berbuat demikian sambil menghormati antara satu sama lain.

“Sila mengelakkan cuba menjatuhkan satu sama lain. Lobi dengan integriti dan jujur. Tiada gunanya mengkritik atau mengutuk antara satu sama lain.

“Keputusan muktamad akan dibuat jua akhirnya nanti. Anda akan berasa sangat tidak selesa atau malu apabila individu yang anda telah kutuk atau kritik itu akhirnya dipilih sebagai calon kelak,” tambahnya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget