KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menyambut baik cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar PAS bekerjasama dengan UMNO.
Adenan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri berkata ia tidak mustahil jika ia dilakukan.
“Kalau boleh, kenapa tidak kerjasama UMNO dan PAS?,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita semasa menghadiri persidangan DUN di sini, semalam.
Adenan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Najib juga Presiden UMNO, menggesa ahli parti Melayu itu menghulurkan salam ukhuwah dan silaturahim kepada PAS, lebih-lebih lagi parti Islam itu kini sudah meninggalkan pakatan pembangkang.
Memetik portal berita online, Malaysian Insider Najib dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung UMNO Khamis lepas berkata, sistem dua parti juga tidak boleh diamalkan di negara ini, sebaliknya rakyat kini berdepan pilihan antara pakatan parti pemerintah BN yang diketuai UMNO ataupun parti pembangkang diketuai DAP dalam Pakatan Harapan.
“Maka saudara dan saudari, kita di dalam UMNO, berasa lega, malah gembira, apabila PAS, kini tidak lagi bersama pakatan pembangkang.
“Dengan hati yang terbuka dan nubari merdeka, kita hulurkan tali silaturahim, kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariat-Nya,” kata Najib di hadapan 2,654 perwakilan dari 191 bahagian UMNO seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
- Borneo Post Online
Post a Comment