Projek pertama dari Serian ke Pantu sejauh 73 kilometer dijangka dilancar 25 Januari 2016: Fadillah
PELAKSANAAN BERPERINGKAT: Sebelas lagi jajaran Lebuh Raya Pan Borneo dari Kuching ke Miri akan ditender bermula tahun depan. |
KUCHING: Sebelas lagi jajaran Lebuh Raya Pan Borneo dari Kuching ke Miri akan ditender bermula tahun depan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Jelasnya, semuanya akan dilaksana secara berperingkat di bawah penyelarasan Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan.
“Projek pertama dari Serian ke Pantu sejauh 73 kilometer dijangka dilancar 25 Januari tahun depan dan diikuti jajaran lain.
“Semua pelaksanaannya akan diselaras Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan. Manakala Kementerian Kerja Raya memantau dari segi kerja, kewangan dan prestasi projek,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena perasmian Projek Menaik Taraf Jalan Kuching-Serian dari Batu 10 ke Batu 15 di Kompleks Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri di sini, semalam.
Menjelaskan mengenai projek menaik taraf Jalan Kuching-Serian dari Batu 10 ke Batu 15, Fadillah berkata ia merupakan ‘missing link’ Pan Borneo Sarawak.
“Walaupun Jalan Kuching-Serian dari Batu 15 hingga ke bandar Serian telah dinaik taraf kepada empat lorong dua hala pada 2005, jajaran dari Batu 10 ke Batu 15 ini masih dua lorong dua hala menyebabkan ‘bottleneck’ membawa kepada kesesakan trafik dengan Level of Service (LOS) peringkat F,” katanya.
Menurut beliau, kos pembinaan projek itu hampir RM80 juta dan dijadual siap pada 9 Ogos 2017.
Fadillah berkata, selain menaik taraf jalan sedia ada daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala dengan piawaian U5 sepanjang 9.2 kilometer, skop projek turut merangkumi pembinaan lima jambatan.
“Ini termasuk menaik taraf lima persimpangan utama, menyediakan lima pusingan U di persimpangan dan satu bulatan, menyediakan satu lorong pusingan kanan, menyediakan sepuluh lokasi perhentian bas, pengalihan utiliti dan pengambilan balik tanah serta pemasangan lampu jalan,” katanya.
Dalam pada itu, Fadillah berkata empat lagi persimpangan bertingkat atau jejambat dibina di bawah pakej naik taraf Pan Borneo iaitu di Batu 4 1/2, Batu 6, Batu 7 dan Batu 10 bagi mengatasi masalah kesesakan akibat lampu isyarat.
“Apabila siapnya jejambat ini, ia akan mengurangkan kesesakan di sepanjang jalan dari Kuching ke Serian,” katanya.
Berhubung status pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, Fadillah berkata projek jajaran permulaan dari Simpang Nyabau ke Simpang Bakun sepanjang 44 kilometer kini sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Oktober 2017.
Selain itu, katanya ialah jajaran jalan baharu dari Telok Melano ke Sematan sepanjang 33 kilometer.
Jelasnya, pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak melibatkan dua fasa iaitu dari Telok Melano ke Miri yang sudah bermula dan dari Lawas ke Limbang yang akan bermula pada 2018.
- Borneo Post Online
Post a Comment