SUPP bertegas tidak lepas kerusi Mambong, Serembu


KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tidak akan melepaskan dua kerusi baharu iaitu Mambong dan Serembu yang dipecah daripada N.16 Bengoh.

Presiden SUPP, Senator Datuk Profesor Dr. Sim Kui Hian menegaskan, ini kerana kedua-dua kerusi baharu itu kekal dan masih milik tradisi parti itu.

“Walaupun dipecah, kedua-dua kerusi ini tetap milik SUPP,” katanya ketika ditemu bual selepas merasmi Majlis Graduasi dan Penyampaian Hadiah SMK Bandar Kuching No.1 di sini, semalam.

Jelas Sim, ia masih kawasan sama (Bengoh) dan SUPP akan menuntut kerusi itu tidak kira ia di bandar atau luar bandar.

Bagaimanapun, beliau berkata ia bergantung kepada Ketua Menteri Datuk Pa-tinggi Tan Sri Adenan Satem untuk menentukan sama ada kerusi itu terus diwaris kepada SUPP atau tidak.

Selain itu, Dr. Sim berkata pihaknya belum lagi menetapkan calon di kedua-dua kerusi berkenaan kerana sedang menunggu Parlimen memuktamadkan tambahan 11 kerusi baharu termasuk Mambong dan Serumbu bagi pilihan raya negeri ini.

“Selepas dimuktamad, kami akan tahu siapa akan berada mewakili kerusi Mambong dan Serembu,” katanya.

Dr. Sim berkata beliau juga sedang menilai prestasi calon parti walaupun sudah mengumum beberapa nama akan bertanding pada pilihan raya negeri nanti.

Ia kerana, beliau mahu memilih calon wakil rakyat terbaik dan benar-benar berkhidmat meskipun parti mempunyai cukup calon berkelayakan terdiri daripada orang muda.

“Kami mempunyai cukup calon layak. Cuma saya mahu memilih dan memastikan calon terbaik daripada akar umbi supaya benar-benar boleh mewakili kawasan.

“Jika mahu menjadi wakil rakyat, anda harus memberi komitmen penuh. Kita tidak mahu memanggil anda sebagai wakil rakyat tetapi apabila rakyat memerlukan, anda tidak dapat dicari kerana ramai orang seperti itu.

“Oleh itu, saya mahu memilih calon wakil rakyat terbaik dan benar-benar berkhidmat…bukannya menghantar setiausaha turun padang,” katanya ketika ditemu bual di sini, semalam.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget