ALOR SETAR - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyeru agar semua ahli UMNO memberi sepenuh kepercayaan kepada pucuk kepemimpinan parti dalam menyelesaikan sebarang kemelut dalaman yang berlaku.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO itu menegaskan, di sebalik pelbagai isu yang jadi polemik dalam parti ketika ini, kepemimpinan UMNO Pusat sedang bertungkus lumus mencari jalan penyelesaiannya.
Kata beliau, pihaknya yakin setiap isu berkaitan dapat diselesaikan dalam jangka waktu ditentukan demi memastikan parti bukan sahaja kukuh, malah relevan kepada ahlinya.
“Atas dasar itu kami jelaskan kepada kepimpinan di peringkat negeri bahawa sokongan harus diberikan kepada peringkat kepimpinan parti untuk selesaikan masalah.
“UMNO di peringkat negeri harus bagi dukungan untuk pastikan UMNO terus relevan dan sebagai parti dinamik kita harus cari jalan selesaikan masalah sebagai parti dinamik,” katanya.
Beliau perkara demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan tertutup bersama Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Kedah dan perjumpaan tertutup bersama kepemimpinan dan ahli jawatankuasa empat peringkat UMNO bahagian di Seri Mentaloon di sini hari ini.
Hadir sama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan; Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanifah.
Mengulas lanjut kata Ahmad Zahid, dukungan semua ahli UMNO itu terhadap kepemimpinan juga penting demi kesiapsiagaan dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Walaupun PRU akan datang jangka waktunya lebih dua tahun dari sekarang, namun kesiapsiagaan perlu. Apatah lagi ketika ini ada parti politik yang guna peruntukan dalam akta suruhanjaya untuk pindahkan pengundi dari kawasan majoriti besar dimenangi mereka. Kami mencium bau bahawa ia (pengundi) dipindahkan ke kawasan mereka yang marginal kemenangan dan kalah.
“Tentu perkara ini harus dianalisis oleh UMNO untuk lihat sejauh mana kesan akan berlaku apabila tindakan dilakukan oleh parti lawan itu,” katanya.
Tambah beliau, kesiapsiagaan bukan hanya bagi roh, semangat dan perjuangan malah penting bagi tindakan taktikal yang harus dilakukan.
“Politik mengenai angka, jika angka berubah harus diatasi dengan beberapa langkah supaya perubahan ditangani dengan sebaiknya,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan, perubahan pemimpin adalah lumrah malah merupakan prinsip kepimpinan yang dinamik dalam sesebuah parti.
Katanya, kepimpinan datang dan pergi dalam parti, namun yang penting penyatuan semua ahli di peringkat negeri sehingga ke akar umbi.
“Di sebalik permasalahan di peringkat parti saya yakin bahawa kepimpinan itu datang dan pergi. Oleh kerana perubahan itu tidak dapat dielakkan maka dukungan di peringkat akar umbi harus diberi apabila perubahan dilakukan di peringkat atasan.
“Perkara ini adalah lumrah telah berlaku begitu sebelum ini,” katanya.
- Utusan Online
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.