Beliau menyatakan hanya menyokong calon daripada SPDP untuk mewakili BN di kerusi berkenaan
Sebaliknya menurut Nogeh yang juga setiausaha agung Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, beliau hanya menyokong calon daripada SPDP untuk mewakili BN di kerusi N.2 Tasik Biru.
“Sebagai Ahli Parlimen dan timbalan menteri saya memang mesra kepada semua pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk yang bukan daripada SPDP terutama jika ia melibatkan soal rakyat.
“Tetapi itu tidak bermaksud saya menyokong calon bukan SPDP untuk bertanding di kerusi N.2 Tasik Biru,” ujar Nogeh sebagai merujuk kepada Nansian yang merupakan ADUN sedia ada bagi Tasik Biru yang juga timbalan presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).
Tambah Nogeh, beliau telah berhadapan dengan pelbagai rintangan dan cabaran untuk bekerja dengan ADUN dalam kawasannya yang merupakan lawan kepada partinya.
“Dalam tempoh dua tahun ini, kami dalam SPDP di Tasik Biru ini telah puas ditindas seolah-olah SPDP tidak wujud di kawasan ini.
“Tetapi kebelakangan ini individu yang sama menindas kami menjadi baik dengan saya dan bercakap manis mengenai saya.
“Tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa saya menyokong beliau tetapi dengan tegas saya katakan saya tidak akan menyokong calon selain daripada SPDP,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) SPDP Cawangan Tasik Biru semalam.
Terdahulu dalam ucapannya, Nogeh berkata SPDP telah mengenal pasti dua calon berpotensi bagi Tasik Biru selain William Jinep yang juga merupakan kontroler Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.
Selain Tasik Biru, SPDP menurut Nogeh juga telah mengenal pasti calon-calon berpotensi bagi tujuh lagi kerusi yang diperuntukkan kepada SPDP iaitu Pakan, Bekenu, Meluan, Marudi, Batu Danau, Ba’Kelalan dan Krian.
“Kita telah mengenal pasti lebih daripada dua orang calon berpotensi bagi setiap kerusi SPDP dan kita akan memastikan kerusi-kerusi ini akan terus menjadi milik kita,” ujarnya.
Dalam pada itu Nogeh menyatakan bahawa beliau akan terus bekerja dengan gigih untuk membantu dan memajukan rakyat di kawasan Parlimen Mas Gading.-Utusan Borneo
Post a Comment