Tiong sokong Adenan kekal hak imigresen Sarawak demi keamanan



BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengekalkan hak imigresen Sarawak demi menjaga keamanan dan kesejahteraannya.

“Sarawak secara dasarnya mempunyai hak imigresen menghalang mana-mana individu radikal dan ekstrem berpotensi mencetuskan kekacauan dan ketenteraman negeri,” katanya.

Tiong berkata demikian sebagai melahirkan kekecewaan terhadap kenyataan dikeluarkan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen semalam meminta agar Adenan memansuhkan hak imigresen negeri ini bagi membuktikan beliau lebih adil dan berkaliber.

Jelasnya, ia bagi memastikan Sarawak bebas daripada sebarang kekacauan dan huru-hara yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi yang pesat dinikmati rakyat negeri ini.

Tiong berkata Chong sebagai seorang ahli politik harus bersikap profesional dan berfikiran logik bagi mendapatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat bukannya bergantung kepada orang luar untuk mendapatkan sokongan.

“Saya kurang setuju dengan sikap kebanyakan ahli DAP yang mengagung-agungkan Tony Pua, ahli politik DAP Semenanjung Malaysia yang dilarang masuk ke Sarawak dan agak radikal dalam perjuangannya dalam DAP,” jelas beliau.

Katanya seseorang ahli politik harus menyelesaikan masalah rakyat bukannya mewujudkan masalah dan itu antara sebab utama Sarawak melarang ahli-ahli politk ekstrem dan radikal kerana dikhuatiri boleh mendatangkan huru-hara di negeri ini.

Tiong turut melahirkan rasa bangga serta terima kasih kepada Adenan yang menepati janjinya menjaga hak anak jati negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget