Sekolah Cina akan terus diperkasa

Penekanan kuat kerajaan negeri terbukti dengan sokongan, peruntukan

KUCHING: Penekanan kuat yang ditunjukkan oleh pentadbiran Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk membantu sekolah Cina mencerminkan kepentingan untuk mewujudkan masyarakat berbilang bahasa supaya negeri ini terus berdaya saing dalam globalisasi.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, ia adalah sesuatu yang praktikal bagi kerajaan untuk memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan sekolah Cina memandangkan 20 peratus daripada tujuh bilion penduduk dunia sekarang menggunakan bahasa Cina.

Bagi menjadi pemain global, katanya, kerajaan negeri perlu membuat perancangan bagi membentuk masyarakat yang dapat bergaul dengan satu sama lain khususnya mereka yang berasal dari negara-negara kuasa ekonomi utama dunia.

Menurutnya lagi, pada era globalisasi sekarang, di mana peluang perniagaan dan ekonomi begitu banyak, bahasa seperti Mandarin dan Hindi akan menjadi signifikan seperti bahasa Inggeris di kalangan populasi yang bertutur dalam bahasa-bahasa tersebut.

Dua negara yang mempunyai penduduk paling ramai dunia, China dan India sama-sama menyumbang sekitar 37 peratus daripada populasi dunia, katanya.

Bahasa lain yang disebut oleh Abang Johari sebagai sama penting termasuk bahasa Jepun, Korea dan juga bahasa Melayu yang digunakan di Indonesia, Singapura dan Brunei terutamanya dengan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada tahun ini.

“Pada 2012, populasi dunia sekitar 6.8 bilion dan lebih satu bilion datang dari China sahaja. Memandangkan orang Cina sudah berhijrah ke seluruh pelosok dunia ia amat penting bagi kita untuk dapat berkomunikasi dalam Mandarin dengan 20 peratus populasi ini.

“Ia adalah sesuatu yang bagus untuk dapat bercakap dalam pelbagai bahasa terutamanya jika kita mahu menjadi pemain global penting,” katanya ketika melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua No.4 di sini semalam untuk menyampaikan cek bernilai RM500,000 bagi membina dewan serbaguna baharu di sekolah tersebut.

Turut menyaksikan penyerahan cek itu, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senator Datuk Dr Sim Hui Kian, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan SJK Chung Hua Kuching No.1 hingga 6 Wong Tiong Hock dan Pengerusi Jawatankuasa Projek Jonathan Chai Voon Tok.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan berkata, kerajaan negeri serius mengenai pendidikan Cina dan berusaha sedaya upaya untuk membantu sekolah tersebut.

Beliau memberitahu Adenan pernah memperuntukkan RM4 juta untuk membantu sekolah Cina selain menjanjikan RM5 juta lagi pada masa depan.

Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang mana pemegang UEC dapat memohon untuk menyertai perkhidmatan awam negeri selain memohon biasiswa atau pinjaman pendidikan daripada Yayasan Sarawak yang dipengerusi Ketua Menteri sendiri adalah bukti lanjut kepentingan pendidikan Cina di negeri ini, jelasnya.

Justeru, beliau menegaskan sokongan padu daripada masyarakat Cina kepada Adenan harus dikekalkan untuk memastikan beliau dapat memimpin negeri ini.

“Jika Adenan tidak kuat, Putrajaya tidak akan mendengar suara kita,” ujarnya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget