Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata banyak kebaikan diterima rakyat sekiranya memberi kerjasama padu terhadap penyukatan tanah NCR.
Katanya, kerajaan sentiasa prihatin dan komited memberi pengiktirafan tanah NCR negeri ini melalui inisiatif baharu penyukatan perimeter tanah dilaksanakan secara berterusan.
“Pembangunan dan pengurusan tanah negeri ini hanya berjaya sepenuhnya melalui sokongan dan kerjasama rakyat.
“Pelbagai projek pembangunan dan kemudahan dibina atas tanah mereka memberi banyak manfaat serta faedah seluruh rakyat kawasan terlibat,” katanya pada majlis penyerahan Warta Seksyen 6 Tanah Rizab Komunal Bumiputera (NCR) di sini kelmarin.
Kawasan terlibat warta rizab komunal Bumiputera (pertanian) membabitkan kawasan Kampung Layong/Serampang/Gelapas Laut, Trusan, Kampung Dato Hulu di Kuala Lawas.
Kampung Long Lintang/Kampung Lubok Batong, Kampung Long Tengoa dan Kampung Long Ibau serta Kampung Long Lutok.
Menteri Kemudahan Awam dan Pembangunan Perindustrian itu memberitahu, melalui pewartaan pemilik tanah tidak perlu risau mengenai isu pencerobohan tanah mereka.
“Selepas pewartaan di bawah Program Pengukuran Perimeter NCR Inisiatif Baharu pada peringkat pertama, tanah kawasan tersebut menjadi hak eksklusif kepada 1,844 orang komuniti Lun Bawang, Melayu dan Tagal sebagai tanah NCR mereka,” jelasnya.
Beliau menambah, warta tersebut membuktikan pemilikan tanah terbabit dan sempadan kawasan tanah menjadi milik kampung.
“Selepas pewartaan, komunal terlibat kini hanya selangkah memiliki surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri dan pengukuran tanah secara individu akan dilakukan,” ujarnya.-Utusan Borneo
Post a Comment