Penduduk Kampung Belasoi nikmati elektrik tenaga solar

Mereka kini mempunyai elektrik tanpa perlu merosak dan menjejaskan alam sekitar serta persekitaran

MARUDI: Pemuliharaan alam sekitar merupakan perkara dan agenda yang sentiasa dekat di hati pemimpin dan rakyat negeri ini.

Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Sarawak (iM Sarawak) Datuk Joseph Salang berkata, beliau amat gembira memberitahu bahawa penduduk Kampung Belasoi di Marudi kini sudah ada kemudahan elektrik melalui tenaga solar tanpa perlu merosak dan menjejaskan alam sekitar serta persekitaran.

“Pihak iM Sarawak amat komited membantu memajukan standard kehidupan masyarakat di negeri ini.

“Pada masa sama tetap memulihara kelestarian alam sekitar,”katanya.

Salang yang juga Ahli Parlimen Julau, memberitahu demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Projek Tenaga Solar iM Sarawak di Rumah Jugah dan Rumah Nyala, Sungai Belasoi di Telang Usan dekat sini, semalam.

Perkampungan itu terletak kira-kira sejam perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) melalui jalan pembalakan.

Menurut Salang, meskipun terpaksa berdepan beberapa halangan dan laluan sukar serta mencabar, terutama membawa masuk semua perkakas dan keperluan bagi pembinaan projek solar, namun kerjasama dan sokongan padu penduduk kampung memastikan ia berjalan lancar.

“Saya berasa amat gembira kerana akhirnya penduduk di Kampung Belasoi ini sudah menerima sistem tenaga solar.

“Ia menjadi lebih bermakna kerana turut melibatkan kerjasama penduduk terutama dalam hal penyambungan secara bergotong-royong,” jelasnya lagi.

Salang berkata bahawa iM Sarawak ialah badan pembangunan inisiatif sosial diwakili 1Malaysia Lembaga Penasihat Sarawak (1MSAC) yang membantu memajukan kualiti kehidupan kepada pelbagai masyarakat di seluruh negeri Sarawak.

Katanya prinsip 1Malaysia ialah kerja jangka panjang dapat memberi hasil kepada masyarakat, khususnya fokus kepada kualiti kehidupan, kemajuan, pendidikan dan sukan.

“1MSAC ditubuh oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang turut menasihat saya apa yang diperlu masyarakat di Sarawak.

“Dan badan iM Sarawak dipengerusi saya sendiri manakala ahli-ahlinya terdiri daripada Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Parlimen Mas Gading Anthony Nogeh Gumbek, Datuk Billy Abit Joo dan Irwan Zulkarnian Muhammad Hasbie,” jelasnya.

iM Sarawak ialah projek kemasyarakatan yang dijalankan oleh awam dan organisasi perseorangan termasuk Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Yayasan 1MDB, Jabatan Pendidikan, Jabatan Penerangan, Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS) dan banyak lagi agensi kerajaan terlibat.

Sementara itu, Tuai Rumah Jugah Anyi berkata penduduk 26 pintu di Sungai Belasoi merasai hasil kemudahan bekalan elektrik setiap pagi dan petang setelah sistem solar iM Sarawak dipasang di kampung tersebut.

“Sistem tersebut menerangi semua 26 pintu rumah panjang kami.

“Ia dapat menerangkan lampu dan kipas di kedua-dua rumah panjang ini (Rumah Jugah dan Rumah Nyala),” tambahnya.

Sistem ini mempunyai kapasiti membolehkan penduduk menerima bekalan elektrik dalam masa 10 jam dan ia telah membantu menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM2,600 sebulan untuk membeli minyak diesel bagi menghidupkan jana kuasa mereka, sebelum ini.

Turut hadir ADUN Telang Usan Dennis Ngau serta ketua-ketua masyarakat setempat.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget