PAS dakwa Chong angkuh, tidak pedulikan rakan pembangkang


MIRI: PAS Sarawak mendakwa Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen seorang individu yang angkuh serta menginginkan lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tanpa memikirkan rakan pembangkang lain.

Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee berkata, PAS sememangnya menjangka keangkuhan Chong selepas memutuskan keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) Sarawak yang turut dianggotai PAS dan PKR.

“Alasan DAP memutuskan hubungan dengan PAS disebabkan pelaksanaan rang undang-undang berkaitan hukum hudud tidak munasabah kerana ia hanya dilaksanakan di Kelantan dan tiada kaitan dengan Sarawak,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Malah, kenyataan Chong bahawa PAS tidak relevan di Sarawak antara kenyataan paling angkuh sejak beliau memegang jawatan pengerusi DAP.

“Adakah Chong mempunyai agenda tersendiri untuk kepentingan peribadi beliau dan beliau juga suka memaksa rakan pakatan lain seperti PKR untuk patuh dan tunduk kepada kehendak beliau.

“Tindakan DAP di bawah pimpinan Chong menyukarkan untuk pembangkang bersatu dan akan menyukarkan hasrat rakyat mengubah kerajaan yang ada sekarang,” ujarnya.

Katanya hudud bukan isu yang perlu dibangkitkan di Sarawak kerana Sarawak belum mampu daripada pelbagai aspek pelaksanaan hudud meskipun di kalangan orang Islam.

Justeru, katanya isu hudud hanya propaganda politik murahan Chong yang tidak rasional sebaliknya beliau sebenarnya menginginkan lebih banyak kerusi pada PRN akan datang.

“Jika DAP Sarawak terus mengikut telunjuk kepimpinan Chong kemungkinan DAP Sarawak ketinggalan dan sukar mendapat sokongan rakyat daripada kalangan orang Muslim dan Bumiputera lain,” jelasnya.

Keegoan DAP meminta semua pihak lain mengikut kehendak dan telunjuk mereka adalah suatu perkara bertentangan dengan keharmonian rakyat Sarawak.

“Kami masih menjalin hubungan dengan PKR sebagaimana diputuskan dalam Muktamar PAS Pusat dan mereka mahu bergabung bersama untuk kebaikan rakyat Sarawak,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget