PULAU PINANG – Dewan Ulama Pas Pusat mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan dakwaan mengenai penarikan balik bantuan kepada sekolah agama rakyat (SAR) persendirian milik ahli-ahli Pas.
Ketua Penerangannya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, bantuan kepada beberapa buah sekolah agama persendirian itu dihentikan sejak kebelakangan ini sedangkan sekolah berkenaan sudah menerimanya sejak beberapa tahun lalu.
Malah, dakwa beliau, surat tawaran bantuan yang telah dihantar ke beberapa buah sekolah terbabit turut ditarik balik.
“Tindakan ini memberi mesej DAP dan PKR yang sebelumnya menjadi pembangkang apabila berkuasa juga menjadi zalim dan tidak memberikan keadilan dan hak terhadap mereka yang tidak sehaluan politik dengan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, bantuan kepada sekolah agama rakyat (SAR), pusat tahfiz, sekolah pondok dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) di negeri ini bukan geran tahunan, tetapi disalurkan berdasarkan keperluan.
Menurut beliau, peruntukan itu diuruskan jawatankuasa di bawah beliau yang akan membincangkan keperluan sekolah-sekolah berkenaan sebelum diluluskan berdasarkan permohonan yang dibuat.
“Bantuan tahunan yang diberi adalah berdasarkan keperluan, bukannya geran yang perlu diagihkan kepada 177 institusi pendidikan Islam di negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
- Utusan Online
Post a Comment