Azmin enggan sahkan Rafizi bakal dilucutkan jawatan setiausaha agung PKR



Walaupun tidak menjawab dengan jelas khabar angin mengenai Rafizi Ramli bakal dilucutkan sebagai setiausaha agung PKR, Mohamed Azmin Ali mengingatkan semua pihak tidak membuat spekulasi dan melahirkan budaya fitnah.

Timbalan presiden PKR itu sebaliknya mengaitkan insiden yang berlaku kepada bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik yang diambil tindakan berhubung postingnya di Facebook apabila mendakwa Raja Muda Selangor murtad.

"Kalau benda tak benar, kenapa membuat spekulasi? Jangan layan spekulasi dan budaya fitnah.

"Sebab itu baru-baru ini Dewan Diraja Selangor dan kerajaan negeri ambil tindakan keras terhadap Tan Sri Rahim Tamby Chik.
"Hentikan budaya fitnah dalam masyarakat kerana ia akan menggugat demokrasi dan kedaulatan sesebuah negara dan negeri," kata menteri besar Selangor itu selepas majlis pecah tanah projek naik taraf Masjid Zakaria di Gombak, Selangor hari ini.

The Malaysian Insider hari ini melaporkan sekumpulan pemimpin PKR mahukan Rafizi Ramli dilucutkan sebagai setiausaha agung disebabkan pertembungan dalaman berhubung penubuhan Pakatan Harapan, kata sumber parti.

Sumber itu berkata, nasib Rafizi akan ditentukan dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada Ahad ini yang dibuat ekoran satu petisyen dikemukakan 25 anggotanya baru-baru ini.

Azmin turut mengulangi kenyataannya sebelum ini, PKR merupakan parti yang semakin kuat dan kukuh.

"PKR hari ini sebuah parti yang bertambah kuat dan kukuh dan kita berperanan memainkan yang inklusif dengan melibatkan semua parti-parti politik yang terikat dengan agenda perubahan dan saya percaya kemuafakatan yang baik dan perbincangan berterusan, kita dapat mencapat hasrat tersebut," katanya. -The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget