AMK sokong titah Raja-Raja Melayu berhubung siasatan 1MDB


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menjunjung kasih ke bawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang telah bersidang dan tampil dengan kenyataan bersama untuk menegur kepimpinan tertinggi Barisan Nasional hari ini yang telah mengakibatkan negara dan rakyat berada di dalam krisis kepimpinan dan ekonomi yang parah.

Keprihatinan dan ketegasan Majlis Raja-Raja yang bertitah menuntut agar isu skandal 1MDB diselesaikan dengan segera dan gesaan agar setiap pemimpin politik agar menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang seperti yang termaktub di dalam Rukun Negara adalah tepat pada waktunya.

Majoriti rakyat telah bersuara dan menyatakan pendirian mereka (hilang keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional) bukan sahaja melalui media sosial atau dapatan dari kajian-kajian bebas, bahkan kejayaan himpunan aman Bersih 4 membuktikan bahawa rakyat menuntut perubahan kepimpinan dan reformasi sistem bagi menyelesaikan krisis ini.

AMK mendesak agar Datuk Seri Najib Razak segera meletakkan semua jawatan beliau di dalam kerajaan, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Kegagalan beliau untuk menjawab dengan fakta dan bukti yang jelas berkenaan skandal yang membelenggu beliau, serta keengganan beliau untuk berhadapan dengan siasatan dan perbicaraan telah mengakibatkan kehilangan kepercayaan rakyat serta menjejaskan kedudukan negara pada pandangan dunia. Integriti dan tatakelola Kerajaan Barisan Nasional terus dipersoalkan dan menjejaskan ekonomi negara yang akhirnya membebankan rakyat.

AMK juga menggesa semua Ahli Parlimen, waima dari kerajaan mahupun pembangkang, agar bersepakat untuk mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sesi sidang Dewan Rakyat yang akan datang. Usul undi tidak percaya ini adalah permulaan kepada perubahan dan reformasi sistem yang wajib dilaksanakan bagi menyelesaikan krisis yang melanda negara ini.

Perbezaaan pendapat dan apa jua perselisihan yang wujud di kalangan Ahli Parlimen harus diketepikan demi kepentingan negara. Rakyat bakal menjadi saksi samada Ahli – Ahli Parlimen hari ini bakal dikenang di dalam sejarah negara sebagai mereka yang telah menyelamatkan negara, atau – yang telah membenarkan negara terus dihancurkan oleh Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional.

Dr Afif Bahardin
Timbalan Ketua AMK Malaysia 
- Keadilan Daily
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget