1MDB akur hak Bank Negara batal kebenaran


1Malaysia Development Bhd (1MDB) menghormati sepenuhnya hak Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membatalkan kebenarannya yang terdahulu dan mengeluarkan apa-apa arahan yang difikirkan patut di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Keputusan ini diambil walaupun Pejabat Peguam Negara mengesahkan tiada kesalahan dilakukan oleh pegawai-pegawai 1MDB.

"1MDB bersedia bekerjasama dengan BNM, bagi menangani kebimbangan mereka dan mencari penyelesaian yang berdaya maju kepada perkara yang tertangguh ini," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut 1MDB, sejak siasatan BNM dimulakan pada Jun 2015, pengurusan dan lembaga pengarahnya memberi kerjasama yang menyebabkan kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Selain menyerahkan jawapan bertulis dan berkongsi dokumen, anggota lembaga pengarah 1MDB, kakitangan semasa dan bekas kakitangan ditemu bual BNM, dengan kenyataan saksi direkod secara terperinci.

BNM menjelaskan hari ini yang ia mencadangkan prosiding jenayah kepada Pejabat Peguam Negara atas alasan "...pendedahan tidak tepat atau tidak lengkap maklumat penting..." dan bukan kerana pengubahan wang atau dakwaan perbuatan jenayah sebagaimana ditonjolkan media dan ahli politik pembangkang tertentu.

Bagaimanapun, Pejabat Peguam Negara sebagai pihak berkuasa yang sah untuk perkara seumpama itu, memutuskan “tidak ada kesalahan dilakukan oleh pegawai 1MDB” dan mengarahkan supaya “tiada tindakan selanjutnya perlu diambil”.

Tanpa mengambil kira arahan Pejabat Peguam Negara ini, BNM mengeluarkan arahan supaya 1MDB membawa balik wang berjumlah AS$1.83 bilion.

Ia adalah berkaitan kebenaran tertentu yang diberikan BNM antara 2009 dan 2011 untuk 1MDB membuat pelaburan di seberang laut.

"Ia penting untuk menjelaskan yang kebenaran terbabit, ketika diberikan, tidak memerlukan dana-dana itu dibawa pulang.

"Selain itu, penggunaan dana terbabit diterangkan secara terperinci dalam nota kepada kenyataan kewangan 1MDB yang boleh diperoleh orang ramai bertarikh 31 Mac 2009 hingga 3 Mac 2014," katanya.

Pelaburan seberang laut bernilai AS$1.83 bilion itu adalah berkaitan pelaburan pinjaman ekuiti dan murabahah dalam usaha sama dengan PetroSaudi pada 2009 hingga 2011, yang akhirnya ditukar pada September 2012 kepada unit dana bernilai AS$2.318 bilion.

Sebagaimana diterangkan sebelum ini oleh 1MDB kepada BNM, sejumlah AS$2.318 bilion ditebus pada 2014 dan 2015, dengan hasilnya sebahagian besar digunakan.

Baki AS$940 unit dana itu tdijamin oleh Aabar dan diketepikan untuk “hutang bagi pertukaran aset” dengan syarikat induk bertaraf 'AA', IPIC, sebagai sebahagian daripada pelan rasionalisasi 1MDB.

Oleh itu adalah jelas yang jumlah asal AS$1.83 bilion sama ada dibelanja atau diketepi untuk pengaturan penyelesaian hutang, yang akan menyebabkan pengurangan besar hutang 1MDB, berdasarkan pelan rasionalisasi itu.

1MDB juga berkata, ia bersusah payah memberikan beberapa penjelasan bertulis dan lisan mengenai fakta terbabit kepada BNM antara Jun dan akhir September 2015.

– Bernama

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget