Laporan penuh Himpunan Rakyat Bersatu (baju Merah) 16 September

**LAPORAN PENUH DIBAWAH DIPETIK DARI PORTAL MALAYSIAKINI

8pm, Jalan Tun Tang Cheng Lock – Jalan dari Pasar Seni menghala ke Kotaraya dibuka semula.
Bagaimanapun masih terdapat polis mengawal sekitar kawasan itu.

3 polis cedera
7.30pm Jalan Petaling: Timbalan Pengarah Jenayah Komersial dan Risikan SAC Roslan Abdul Wahid berkata, hanya tiga anggota polis yang cedera semasa berlakunya kekecohan di hadapan pintu gerbang Jalan Petaling. 
Ketiga-tiga polis itu bagaimanapun telah dibawa ke hospital dan hanya cedera ringan. 
Selain itu, beliau juga memberitahu, pihak polis terpaksa mengguna meriam air daripada Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) kerana peserta himpunan ingin merempuh kawasan perniagaan di Jalan Petaling. 
"Kami perlu gerakkan aset, FRU dan tambah halangan keselamatan. Ketika itu kami cuba bercakap dengan mereka jangan rempuh halangan. 
“Ada lima, enam kumpulan kecil tanpa pemimpin dan tiada kawalan.
"Apabila FRU tiba, kami cuba kekalkan supaya mereka tidak berlaku ganas," katanya kepada pemberita.  
7.03pm: Perdana menteri menulis tweet berkaitan himpunan hari ini.
Beliau berkata dimaklumkan perhimpunan berakhir aman kecuali sebuah insiden yang berlaku. 
Beliau berkata insiden itu tidak harus berlaku dan polis patut menyiasatnya.
“Semua orang mesti patuh pada arahan,” katanya.  
Amaran tujuh hari Jamal Yunos
6.50pm, Jalan Petaling Street - Selepas mengadakan perjumpaan, Datuk Jamal Yunos  memberitahu kepada semua peserta untuk bersurai. 
Malah, untuk memberi jaminan supaya semua peserta bersurai, Jamal berkata, beliau akan membuat sidang media pada Jumaat ini. 
Pada sidang media itu nanti, katanya, beliau akan meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mengambil tindakan terhadap Jalan Petaling.
Namun Jamal tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu. 
"Lagi dua hari saya akan buat sidang media untuk minta KPDNKK ambil tindakan kepada Petaling Street. Kita beri masa tujuh hari. 
Selepas itu, kalau tak ada tindakan, saya akan jadi kepala untuk masuk (Petaling Street). 
"Ini janji saya pada awak. Kalau tak, awak boleh ludah muka saya," kata Jamal kepada salah seorang peserta yang agresif dan tetap mahu memasuki Petaling Street. 
Selepas itu, Jamal mengajak semua peserta untuk makan sebelum mereka pulang.  
6.50pm, Jalan Petaling: Tak FRU yang diparkir kira-kira 50 meter jauh dari pintu utama Jalan Petaling bergerak meninggalkan kawasan itu.
Bagaimanapun ia digantikan dengan trak baru. 
Masih kelihatan peserta himpunan baju merah berada di situ.
Mahathir: Apa objektif demo ini?
6.42pm: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak apa apa sebenarnya objektif perhimpunan baju merah di ibu negara hari ini.
6.30pm, Jalan Petaling - Salah seorang peserta meminta supaya seluruh peserta yang berada di hadapan Petaling Street bersurai. 
Sebelum bersurai mereka bersalaman dengan FRU. 
Bagaimanapun keadaan kini sedikit tegang apabila Datuk Jamal Yunos tiba dan berjumpa dengan peserta yang mengetuai peserta di Jalan Petaling. 
Menurut Jamal beliau kini ingin mengadakan perbincangan dengan peserta tersebut dan anggota polis. 
Beliau juga meminta supaya pihak media tidak mengambil sebarang gambar ketika pertemuan itu diadakan.
6.19pm, Jalan Petaling: Kira-kira 60 orang anggota polis FRU tiba bagi menggantikan barisan polis FRU yang bertugas sejak jam 3 petang tadi. 
Kehadiran anggota FRU yang baru itu bagaimanapun diejek oleh peserta. 
Keadaan ketika ini bagaimanapun masih lagi terkawal.
'BERSIH sampah di Padang Merbok'
6.10pm, Padang Merbok: Kerja-kerja pembersihan di kawasan padang kini sedang dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Salah seorang pegawainya yang Malaysiakini temui menganggarkan kira-kira 3 tan sampah yang harus dikutip di padang ini sahaja.
Pekerja pembersihan juga kini sedang menunggu lori-lori DBKL untuk datang mengutip sampah ini
5.58pm, Jalan Petaling: Para peserta kini masih lagi berada di hadapan pintu gerbang Jalan Petaling dan meminta pihak polis untuk memberi kebenaran kepada mereka untuk memasuki kawasan tersebut. 
Mereka mula mempersoalkan tanggungjawab polis yang tidak membenarkan mereka masuk. 
Salah seorang peserta melaungkan: "Kalau tak dapat masuk bermakna polis dirasuah sehingga kita tak dapat masuk." 
Ketika Malaysiakini bertanya dari mana para peserta itu datang, salah seorang daripada mereka memberitahu, mereka daripada pelbagai NGO Melayu. 
"Kami semua dari pelbagai NGO Melayu," katanya yang memakai tag nama Jamaluddin dan Umno Pulai.  
6.00pm, Jalan Petaling: Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah menjemput ketua Umno Kepala Batas Rezal Merican masuk ke dalam kawasan Jalan Petaling dan berunding dengannya.
Beliau memohon bantuan Rezal memujuk peserta baju merah bersurai.
Katanya permit himpunan baju merah adalah di Padang Merbok dan bukannya di Jalan Petaling.
"Cukuplah, bersurailah," kata Zainol kepada Rezal.
Sebelum ini, zainol juga telah menjemput Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Rozlan Mohd Rafi berunding.
Mohd Razlan berkata mereka tetap mahu polis membenarkan kumpulan baju merah masuk. Polis menolak permintaan itu.
Mohd Rozlan kemudian berkata kepada media bahawa mereka tidak tahu Jalan Petaling adalah tempat larangan.
5.55pm, Padang Merbok: Pengerusi NGO Melayu, Datuk Jamal Md Yunos berkata individu yang mencetuskan provokasi di Jalan Petaling bukan peserta baju merah.
Sebaliknya, Kamal mendakwa mereka datang dari kumpulan yang sengaja mencetuskan kekecohan di kawasan yang didominasi peniaga bukan Melayu itu.
"Mereka bukan dari kalangan kami, kami orang baik," kata Jamal ketika ditemui pemberita di Padang Merbok sebaik sahaja himpunan baju merah selesai.
Jamal juga berkata beliau telah menjangkakan perkara itu akan berlaku kerana dimaklumkan sudah berkali-kali dikritik keras pihak pembangkang sebagai rasis.
"Kita dah jangka kerana sebelum ini sudah beberapa kali kenyataan dari pihak pembangkang yang mengatakan kita rasis," katanya.
Bagaimanapun beliau percaya pihak polis dapat mengawal keadaan tersebut.
"Saya percaya pihak polis dapat mengawal keadaan. Jangan langgar undang-undang, kalau langgar kita minta pihak polis ambil tindakan," tegas Jamal.  
5.50pm, Jalan Tun Perak: Kira-kira 2,000 orang berjalan di sepanjang jalan itu setelah bersurai dari Padang Merbok.
Seorang penjual jeruk Mohd Nur Al-Azmi, 26, berkata beliau berjaya menjual seratus kotak jeruk mangga, sama seperti perhimpunan BERSIH 4 sebelum ini.

'Najib tak pernah lihat himpunan seaman ini'
5.30 pm, Padang Merbok: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa beliau terkejut dengan Himpunan Rakyat Bersatu.
Hal ini kerana, beliau tidak pernah melihat himpunan yang dilakukan oleh rakyat dan berlangsung dalam keadaan yang sangat aman.
Perkara ini disampaikan oleh Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Anuar Musa dalam ucapannya kepada peserta perhimpunan.
"Saya baru lepas bercakap dengan perdana menteri, beliau terkejut dan terharu dengan himpunan seaman ini," katanya.
Anuar berkata jumlah kehadiran pada hari ini seramai 250,000 dan menganggap ia sebagai perjuangan awal orang Melayu.
"Jangan kedudukan kita sebagai Melayu, hak dipertikaikan dan dipersendakan.
"Ini bukan satu pesta biasa, suara 250,000 jadikan ini sebagai peringatan. Negara ini bertuan.
"Harap ia tidak berakhir di Padang Merbok, sebaliknya sebagai satu permulaan," katanya.

Penganjur: Buat salah tanggung sendiri
5.37pm, Padang Merbok: Ali Rustam berkata pihak yang mencetuskan provokasi di Jalan Petaling harus bertanggungjawab atas kesalahan mereka sendiri.
"Siapa buat salah dia tanggung sendiri," katanya ringkas ketika diminta mengulas kekecohan yang berlaku di Jalan Petaling kini.
 5.30pm: FRU membunyikan loceng membuatkan peserta himpunan lari ke arah Jalan Tun Tan Cheng Lock. Trak meriam air pula kelihatan menuju ke pintu depan Jalan Petaling dan menyembur air. Kebanyakan peserta berhampuran lari menuju ke Dataran Merdeka.Kelihatan juga trak meriam air bergerak ke arah Pudu.Sementara itu, seorang lelaki berucap mahu berkeras ke Jalan Petaling dan berkata ia milik Melayu.Mereka memainkan lagi Warisan yang dipopularkan oleh Sudirman.
Di Bulatan Dato Onn, ribuan orang terus bergerak meninggalkan Padang Merbok. Mereka berpecah ke tiga haluan, iaitu Masjid Negara, PWTC dan LRT Masjid Jamek di Jalan Tun Perak.
Mereka tenang dan mungkin tidak tahu berkaitan kekecohan yang sedang berlaku di Petaling Street.


5:20pm: Seorang jurucakap perhimpunan berkata orang Melayulah yang berjuang untuk kemerdekaan negara ini.
“Jangan lupa orang Melayulah yang berjuang untuk kemerdekaan. Di mana orang Cina?” katanya melalui alat pembesar suara.
Sementara seorang lagi jurucakap berkata pihak yang membaling objek ke arah polis adalah “pengkhianat”.
Beliau memberitahu perkara itu kepada kira-kira 300 orang peserta. Peserta bagaimanapun melaungkan bahawa mereka tetap mahu ke Jalan Petaling.

5pm, Jalan Petaling: Meriam air FRU tiga dari Jalan Tun Tan Cheng Lock sejurus selepas orang ramai membaling botol ke arah pasukan keselamatan.
FRU juga dipanggil "Barua Cina". Pancutan air itu menyebabkan orang ramai bertempiaran lari namun tiada gas pemedih mata dilepaskan.

4.55pm, Jalan Petaling: Ketegangan berlanjutan dan enggan bersurai. Akhirnya mendorong sesetengah peserta membaling botol ke arah anggota FRU. Polis kini sedang bergerak untuk menahan dalang yang terbabit dalam insiden itu. 
FRU juga menggunakan meriam air yang disasarkan ke arah peserta perhimpunan.

4.45pm, Jalan Tun Tan Ching Lock: Seorang peserta perhimpunan mengganggu wartawan Malaysiakini ketika dia cuba menemubual seseorang membawa plakad.
Dia turut memberi amaran kepada Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang supaya tidak mencetuskan 13 Mei.
Ditanya pandangannya terhadap Lim, lelaki itu berkata: "Ini bangsat."
Bagaimanapun apabila ditanya sama ada "bangsat" itu ditujukan kepada Lim, lelaki terbabit kelihatan terganggu dan semakin marah.
"Tak payah tanya. Awak bedua sama bangsa," katanya.
Kenyataan itu disokong orang ramai dan wartawan dihalau dari situ. 
Tidak lama kemudian apabila terserempak semula lelaki terbabit bertanya kepada wartawan Malaysiakini terbabit: "Mengapa kau masih ada di sini? Baliklah!"
Dia kemudian menjerit: "Cina babi!"  

4.45pm, Padang Merbok: Ketua Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata jumlah kehadiran dalam perhimpunan hari ini dianggarkan seramai 200,000 orang.
Katanya, mereka yang hadir tidak mahu berganjak dari padang kerana terlalu bersemangat.
Noh berkata orang Melayu turut boleh dihimpunkan dalam demonstrasi namun bukannya untuk menjatuhkan kerajaan seperti dilakukan BERSIH baru-baru ini.
"Kalau setakat nak buat demonstrasi kumpul ribuan orang kita pun boleh, kita pun boleh kumpul dan boleh buat.
"Kita nak beritahu DAP jangan guna demonstrasi untuk jatuhkan pemimpin kita.Tunggulah pilihanraya akan datang.
"Orang Melayu bukan seperti peserta himpunan haram yang beri betis nak peha," katanya yang berucap di pentas utama.
Beliau turut mahu ISA dikembalikan kerana "peserta BERSIH tidak tahu bersyukur".

4.35pm, Jalan Sultan Salahuddin: Peserta yang beransur pulang dari Padang Merbok mengambil kesempatan bergambar bersama empat artis yang hadir di perhimpunan itu. Mereka ialah pelakon veteran Liza Abdullah dan Tengku Sarina Tengku Mukhzani atau Kuna, serta dua lagi rakan mereka.


4.30pm, Jalan Petaling: Selepas dua jam keadaan tegang, semangat peserta baju merah masih tinggi. Mereka turut membawa bersama dram sambil menari dan menyanyi. Liriknya: "DAP bangsat, DAP bangsat".
Ditanya mengapa berkeras mahu memasuki kawasan Jalan Petaling, seorang daripada mereka berkata mahu mengganggu operasi perniagaan di situ. Tinjauan mendapati hampir semua kedai di kawasan berkenaan ditutup hari ini.

4.30pm, Jalan Parlimen: Orang ramai mula meninggalkan Padang Merbok. Seorang daripada mereka, Rahman, dari Kelantan memberitahu Malaysiakini mereka sedang berjalan menuju bas masing-masing.
"Mereka kata habis (berhimpun) jam 6 petang tapi kami balik awal," katanya.

Sementara itu sampah-sarap kelihatan ditinggalkan di sepanjang Jalan Parlimen, mungkin disebabkan kekurangan tong sampah. 

4.00pm, KLCC: Kira-kira 15 orang berkumpul secara santai untuk menunjukkan kepelbagaian kaum boleh hidup dengan aman di negara ini.
Peserta "Happy Birthday Malaysia" itu juga membawa bersama mereka keropok lekor, sandwic dan cekodok untuk berkelah di bawah pokok dan menghadap bendera negara.
Penganjur Azrul Mohd Khalib berkata mereka berkumpul untuk meraikan Hari Malaysia.
"Daripada muka merah padam menjerit dan penuh prejudis serta rasis, kami mengadakan perkelahan pelbagai kaum," katanya.
Antara yang hadir ialah anak bekas perdana menteri Marina Mahathir. 

4.00pm, Jalan Parlimen: Pengerusi Gerakan Kebangkitan Rakyat dari Terengganu, Datuk Razali Idris berkata perhimpunan hari ini berjaya dan menganggarkan kehadiran seramai 300,000 orang.
Katanya, kehadiran orang ramai itu akan "mengajar Cina DAP" bahawa tidak perlu memijak gambar perdana menteri atau Presiden PAS jika mahu mengadakan perhimpunan. 
Katanya masyarakat Cina perlu belajar daripada orang Melayu yang berjaya berkumpul beramai-ramai tanpa merosakkan harta benda awam. 
Ia juga, kata Razalai, menunjukkan tunturan rakyat supaya ISA dikembalikan. 

4.00pm, Jalan Petaling: Keadaan terus tegang dengan peserta baju merah berdepan barisan  anggota FRU.
Sejak jam 2.30 petang hingga kini sudah berlaku dua insiden tolak-menolak antara penyokong perhimpunan dan polis. 
Seramai 800 peserta masih berada di sini melaungkan "Masuk! Masuk! Masuk!"
Polis juga mengarahkan wartawan beredar lebih jauh daripada anggota FRU yang berkawal.
Peserta turut melaungkan "Hancur DAP" dan "Hidup Islam".

Ibrahim Ali hentam DAP, dakwa perkauman
3.40pm, Padang Merbok: Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berucap berkata DAP sebuah parti yang mewujudkan sentimen perkauman di Malaysia.
"DAP jangan kata tidak perkauman. DAP bapa segala perkauman," katanya dalam ucapan di Padang Merbok.
Malah beliau turut mendakwa PAS kini hancur kerana campur tangan DAP.
Beliau turut mengucapkan syabas kepada peserta perhimpunan yang hadir
"Tahniah dan syabas kepada yang hadir.
"Saya belum terima apa-apa kekacauan dalam perhimpunan ini,"katanya.


3.27pm, Padang Merbok: Pemimpin PESAKA, penganjur perhimpunan itu, Datuk Seri Ali Rustam, berucap di pentas utama.
Beliau memberitahu menganjurkan perhimpunan itu sebab ramai kecewa dengan penghinaan terhadap Melayu dan agama Islam.
“Mereka hina PM kita, pijak PM kita,” katanya sambil membangkitkan insiden gambar perdana menteri dan presiden PAS dipijak dalam perhimpunan BERSIH 4.
Beliau juga menggesa ISA dikembalikan semula.
Lagu terkenal M Nasir, Mentera Semerah Padi dimainkan dalam himpunan itu.
  

3.20pm, Petaling Street: FRU tiba di Petaling Street. Kira-kira 800 orang kini berkumpul di depan pintu masuk ke tempat itu.  

3pm, Petaling Street: Kumpulan baju merah mula tolak menolak dengan polis untuk masuk ke dalam Petaling Street tetapi dihalang oleh polis.
Namun ada juga orang melaung supaya jangan merempuh kerana mereka sama-sama Melayu selain tempat tujuan mereka di Padang Merbok.
Selepas 5 minit, keadaan sedikit reda. Namun masih ada peserta tetap mahu masuk. 
Sementara itu, seramai 500 peserta baju merah masih berada di depan pintu masuk ke Petaling Street.

40,000 sudah berkumpul Anggaran peserta: Jalan Pudu – 5,000 Jalan Raja Chulan - 1,000 Padang Merbok - 10,000 Masjid Negara - 6,000 PWTC - 20,000
Keseluruhan - 42,000

2.50pm, Jalan Sultan Salahuddin: Puluhan ribu peserta yang berbaju merah kini mula membanjiri Jalan Sultan Salahuddin. 
Mereka datang dari pelbagai arah antaranya Jalan Kuching dan Jalan Tun Perak untuk menuju ke Padang Merbok.
Sementara itu terdapat juga sepanduk "Hormati majoriti senyap Melayu Islam" yang turut menggunakan bendera PAS dan Umno dengan simbolik tangan bersalaman. 
Keadaan di Padang Merbok pula hanya separuh penuh apabila kebanyakan peserta duduk di tepi padang dan di Jalan Sultan Salahuddin untuk berteduh dan berehat.  

2.50pm, Jalan Kuching: Warga emas 63 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Maimunah dari Ipoh berkata beliau tidak kisah berjalan lebih tiga kilometer.
“Dulu waktu bekerja di hospital saya berjalan banyak, saya biasa berjalan,” katanya kepada Malaysiakini.

3pm, Petaling Street: Keadaan sedikit tegang. 
Peserta perhimpunan melaungkan "masuk, masuk masuk" sambil berdepan dengan polis untuk menuntut masuk ke kawasan Petaling Street.

2.45pm, Padang Merbok: Peserta perhimpunan sama-sama berselawat ke atas nabi.
Sementara itu peserta terus meningkat kepada 12,000 dan berada di atas padang. Peserta dari PWTC kini juga telah tiba di Padang Merbok.

2.40pm, Padang Merbok: Kira-kira 10,000 peserta himpunan di Padang Merbok. Dijangkakan lebih ramai akan sampai. 
Mereka membawa sepanduk “hidup Melayu”, “Melayu bersatu” dan  bendera negeri masing-masing. 
Antara kelihatan bendera negeri Selangor, Perlis dan Kedah. Mereka menyayikan lagu “Inilah Barisan Kita” berulang kali.
Mereka masih berhimpun di luar padang dan bergerak masuk ke padang perlahan-lahan.

2.36pm, Jalan Kinabalu: Setakat ini peserta masih berjalan dalam keadaan aman tanpa sebarang provokasi. Mereka hanya meniup vuvuzela mereka sepanjang berada di sini.  


2.33pm: Jabatan Latihan Khidmat Negara (PLKN) menafikan menafikan menyokong himpunan itu, walaupun bas dengan logonya dilihat menggunakan untuk mengangkut peserta.
Badan itu berkata bas itu diuruskan oleh pihak ketiga dan mereka hanya menggunakannya secara kontrak.
PKLN juga berkata penggunaan bas itu bukan bawah tanggungjawab mereka dan mereka tidak meluluskan permohonan untuk digunakan oleh Himpunan Rakyat Bersatu.

2.30pm, Padang Merbok: Kira-kira 5000 peserta perhimpunan kini berada di Padang Merbok.
Mereka masuk ke Padang Merbok sambil menyanyikan lagu patriotik 'Inilah barisan kita' berulang kali.
Manakala pengacara mengucapkan selamat datang kepada peserta yang baru tiba dari beberapa tempat di Kuala Lumpur.

'Kaki tak larat tapi semangat kita kuat'
2.21pm, Jalan Kuching: Seramai kira-kira 15,000 peserta Himpunan Rakyat Bangkit kini membanjiri Jalan Kuching menuju ke Padang Merbok. 
Ada antara mereka menyanyikan lagu 'Inilah barisan kita' dan membunyikan vuvuzela. 
Ada juga di antara mereka juga bergambar sesama sendiri semasa berarak. 
Seorang warga emas Sariah Alang Ahmad, 62, berkata, walaupun penat berjalan dari PWTC ke Padang Merbok namun disebabkan semangat dia gagahkan jua. 
"Jangan cakap pasal penat. Kaki dah tak larat dah tapi sebab semangat kuat. Kita kena kuatkan juga. Sebab semangat orang Melayu," katanya.


2.10pm, Masjid Negara: Sebahagian peserta himpunan baju merah yang sebelum ini memenuhi perkarangan masjid sudah memenuhi Jalan Kinabalu menuju ke Padang Merbok sambil meniup vuvuzela masing-masing.
Bagaimanapun, ada juga peserta yang masih berkumpul di perkarangan masjid dan rata-rata daripada mereka adalah golongan warga emas yang kelihatan sudah mula letih memandangkan cuaca agak panas dan jerebu.


Universiti tak tahu bas diguna dalam himpunan
2.07pm, Universiti Taylor: menjelaskan bas yang terdapat logonya disewa oleh pihak ketiga dan digunakan untuk membawa peserta perhimpunan itu tanpa pengetahuan mereka.
“Tindakan segera sudah dibuat untuk menarik balik penggunaan bas dengan logo kami. Kami kesal dengan tindakan tidak sengaja mengaitkan Universiti Taylor dengan acara ini,” katanya.  

2pm, Jalan Conlay: Seorang pelancong Jerman turun turun untuk melihat sendiri keadaan perhimpunan walaupun dinasihatkan tidak berbuat demikian.
Thomas Lachat, 31, berkata perhimpunan hari ini berlangsung aman.
Daripada pembacaan, beliau juga maklum bahawa himpunan hari ini bagi sebagai reaksi terhadap perhimpunan baju kuning BERSIH hujung bulan lalu.
“Saya juga tahun perhimpunan lepas dianjurkan untuk membantah perdana menteri,” katanya.
“Saya tidak faham mesej mereka, saya hanya tahu Allahuakbar.”

2pm, Jalan Raja Chulan/Jalan Bukit Bintang:Selepas rundingan, anggota FRU membenarkan peserta berarak ke Padang Merbok melalui Bukit Bintang.
Peserta menepuk tangan dan sempat bergambar dengan FRU sebelum bergerak.

1.51pm, Masjid Negara: Peserta mula bergerak menuju ke Jalan Kinabalu.
Setakat ini Malaysiakini menganggarkan lebih 5,000 sudah berada di sini. 

1:50pm, Jalan Hang Lekiu: Golongan gelandangan diberikan makanan dan wang tetapi mereka harus memakai baju merah.
Seorang gelandangan mengaku mendapat wang dan diminta memakai baju merah sebelum “jalan-jalan” sekitar ibu kota.
Terdapat kira-kira 100 orang gelandangan d kawasan itu.
Di Jalan Tun Perak, kira-kira 7,000 peserta daripada Jalan Conlay dan Bukit Bintang mula bertemu di persimpangan itu.  


1.50pm, PWTC - Peserta di PWTC kini telah berarak ke Padang Merbok. Dianggarkan kini kira-kira 10,000 peserta berada di PWTC.
Selain itu, terdapat juga peserta dari Kelantan membawa alat muzik dan memainkannya ketika berarak ke Padang Merbok. 
Peserta dari Kelantan itu datang berpasukan dan mereka memainkan gong, gendang serta seruling. 
Sementara itu, terdapat juga peserta yang membawa sepanduk bertulis "Cina DAP jangan kurang ajar di Malaysia" serta "DAP pengkhianat bangsa".

1.45pm, Padang Merbok: Timbalan Menteri Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Ahmad Maslan yakin Padang Merbok tidak muat bagi menampung peserta himpunan pada hari ini.
"Saya yakin padang ini tak akan muat dengan peserta yang hadir.
"Saya tidak dapat jangkakan, tapi apabila kumpul, nanti akan tahu jumlah yang hadir," katanya kepada pemberita di Padang Merbok.
Ahmad berkata, sekiranya perhimpunan ini tidak mendapat permit dari pihak berkuasa beliau tidak akan menyertainya.
Tambahnya lagi, perhimpunan ini dilakukan bagi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika negara berhadapan dengan pelbagai masalah.
"Perhimpunan ini menunjukkan sokongan usaha-usaha kerajaan, tentang masalah sedang melanda termasuk kemerosotan ringgit.
"Himpunan ini bagi menunjukkan supaya masalah itu selesai pulih," katanya.
Beliau turut yakin tidak ada sebarang kekecohan akan berlaku sekiranya peserta mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
Sementara itu di Padang Merbok jumlah peserta meningkat kepada 1500 peserta.
Turut kedengaran dari pentas utama melalui alat pembesar suara 'Hidup Melayu' dan disambut oleh peserta perhimpunan.
Peserta perhimpunan turut diarah mengambil nasi putih berlauk kari ayam di bawah khemah yang disediakan.

 

1.50pm, Masjid Negara: Peserta himpunan baju merah kini selesai menunaikan solat Zohor diikuti Solat Hajat  dan kini berjalan keluar dari masjid untuk berkumpul sebelum bergerak ke Padang Merbok.

1.40pm, Jalan Putra -  Orang ramai berhimpun dan berlegar-legar di sepanjang jalan. Berbeza dengan BERSIH, tiada ucapan diberikan daripada pemimpin politik dan NGO membuatkan orang ramai tertanya-tanya langkah seterusnya.  

1.30pm, Jalan Petaling: Kumpulan baju merah kini berhenti di depan Jalan Petaling.
Mereka ingin masuk ke dalam Jalan Petaling tetapi dihalang oleh polis.
"Kami bukan nak merempuh atau merusuh, kami nak masuk dalam sahaja," laung seorang peserta.
Namun, polis tetap tidak benarkan mereka masuk ke dalam Jalan Petaling.
Kumpulan baju merah ini kini bergerak menuju ke Pasar Seni dengan laungan "hidup Islam" dan  "hidup Melayu".

5,000 berarak ke Bukit Bintang
1:15pm: Jalan Conlay – Kira-kira 5,000 orang berarak ke Bukit Bintang selepas mendapat khabar seorang peserta ditahan.
“Kawan kita ditahan di Bukit Bintang, saya mahu semua orang bantu mereka,” kata seorang pemimpin Pemuda Umno.

1.15pm, Masjid Negara: Anggota Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Nabil Amin yang ditemui Malaysiakini memaklumkan bahawa himpunan baju merah hari ini akan diketuai oleh pertubuhan tersebut bersama pemimpin tertinggi Umno.
Nabil juga memberitahu seramai 500 anggotanya diarah menjaga keselamatan peserta himpunan.
Kata Nabil, anggota Pesaka turut ditempatkan di PWTC dan Jalan Conlay bagi tujuan yang sama.
Setakat ini pemerhatian Malaysiakini mendapati lebih 4,000 peserta berada di pekarangan masjid. Rata-rata daripada mereka juga sudah mula bergerak ke dalam ruang solat masjid untuk menunaikan solat Zuhur.

1.05pm, Masjid Negara: Salah seorang peserta himpunan baju merah menyeru umat Islam yang hadir hari ini bangkit bersatu.
"Melayu benteng umat Islam. Justeru kita perlu bangkit," katanya yang enggan memberikan namanya.
Sementara itu Ketua Pemuda Umno Wilayah Mohd Razlan Mohamad Rafii dari sudut berlainan masjid sekali lagi memberi ucapan ringkas dalam kumpulan baju merah yang datang dari Johor.
"Apa khabar Melayu? Apa khabar bangsa Melayu?" soal Mohd Razlan.
Dalam ucapan itu Mohd Razlan berkata himpunan hari ini bukti kepada bangsa Cina khususnya dari kalangan DAP bahawa "Melayu juga punyai kekuatan sendiri".
Malah, Razlan menyifatkan mereka lebih beradab daripada peserta himpunan BERSIH 4 kerana tidak memijak gambar pemimpin negara.
"Hari ini kita berkumpul untuk tunjuk kepada Cina DAP bahawa Melayu berkuasa.
"Tempoh hari mereka memijak gambar pemimpin Melayu tetapi hari ini saya tak nampak ada gambar pemimpin dipijak.
"Jadi kita jangan tunjuk sikap kurang ajar itu," ujar Razlan lagi.

1pm, Jalan Imbi: Seorang pegawai polis yang enggan dikenali berkata, pihak berkuasa membenarkan orang ramai berkumpul di depan Hotel Parkroyal walaupun ia terletak dalam kawasan Bukit Bintang.

1:00pm, Jalan Conlay: Kira-kira 5,000 orang berkumpul di depan Hotel Royale Chulan dan bersedia berarak ke Bukit Bintang selepas tersebar khabar kononnya ada peserta ditangkap polis di situ.
Bagaimanapun Armand Azha meminta mereka menunggu 20 minit lagi sebelum bergerak ke sana.
"Rakan kami ditangkap. Saya mahu semua orang tolong mereka," katanya.

12.58pm: Anggaran jumlah kehadiran semasa: Kira-kira 20,000 orang.

12.55pm, Padang Merbok: Kira-kira 700 orang peserta perhimpunan berada di tempat berkumpul Padang Merbok. Tiada sebarang aktiviti dilakukan kecuali penjaja menjual pengikat kepala dan vuvuzela.
Kemudahan tandas bergerak kelihatan ditempatkan berhampiran padang.

12.53pm, PWTC: Peserta mula bersurai seketika untuk menunaikan solat Zuhur dan kembali berkumpul sebelum 2 petang untuk mula berarak. 

12.45pm, Jalan Imbi: Pemimpin perarakan Datuk Jamal Md Yunos muncul di Bukit Bintang dan mengetuai perarakan kira-kira 1,000 orang menuju Jalan Conlay. Sambil berjalan mereka menyanyikan lagu "Inilah Barisan Kita" dengan penuh bersemangat. 
Kebanyakan kedai di sepanjang Jalan Imbi kelihatan ditutup.

12.40pm, Jalan Putra: Seorang pegawai polis berkata, peserta perhimpunan akan diminta menggunakan Jalan Kuching untuk ke Padang Merbok. 
Mereka dijangka memulakan perjalanan ke padang berkenaan dari PWTC kira-kira sejam dari sekarang.

12.30pm, Jalan Putra: Peserta memenuhi laluan menuju Jalan Raja Laut sambil membunyikan vuvuzelas. Mereka bagaimanapun memberitahu belum berhajat ke Padang Merbok. Mereka juga kelihatan tidak pasti laluan mana yang perlu diikuti untuk ke padang berkenaan.

12.20pm, PWTC: Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan memulakan ucapannya dengan melaungkan "Hidup Najib", "Hidup Melayu", "Hidup Umno", dan "Hidup Barisan". 
Selepas itu, beliau memberitahu perhimpunan hari ini adalah untuk memperjuangkan bangsa Melayu dan Islam sambil menghormati bangsa dan agama lain. 
"Perjuangan kita untuk bangsa Melayu di samping menghormati bangsa lain. Perjuangan kita untuk Islam di samping menghormat bangsa lain. Perjuangan kita untuk negara kita yang tercinta," katanya sambil melaungkan takbir. 
Selepas itu, Ahmad berkata perhimpunan hari ini juga adalah untuk menjaga maruah Melayu dan berjuang untuk bangsa dan tanah air. 
Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN Kelantan Datuk Alwi Che Mat pula berkata, kehadiran "lautan merah" pada hari ini adalah untuk memperjuangkan tanah tumpah darah mereka. 
"Ini bumi kita, ini tanah kita, ini tanah tumpah darah kita," katanya sambil menghentakkan kaki dan dan bertakbir. 
"Perhimpunan ini perhimpunan Islam yang diberkati Allah kerana kita perjuangkan tanah air kita. 
"BERSIH 1, 2, 3, kita diam tapi BERSIH 4 kita lawan," kata Alwi. 
Selepas itu mereka berselawat dan melaungkan "tolak DAP".

12:15pm, Jalan Conlay: Ashikin Yunus, 53, dari Johor mengecam ahli politik DAP Lim Kit Siang serta BERSIH sambil meminta mereka menghormati Melayu.
"Bersih ni Bershit. Cukuplah. Pendatang tetap pendatang, babi tetap babi," katanya.
Sementara itu seorang lelaki dikejar kerana membawa poster Tun Dr Mahathir Mohamad. 
Seorang petugas keselamatan yang mengawal perhimpunan itu berkata lelaki terbabit mahu memprovokasi.

12pm, PWTC:  Peserta yang berada berhadapan Stesen Bas Putra kini menuju ke hadapan Dewan Merdeka untuk berkumpul. 
Di depan Dewan Merdeka pemimpin Umno Datuk Alwi Che Mat, Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Rauf Yusoh berdiri di atas pentas untuk bertemu dengan peserta dan berucap. 
Kawasan depan dewan itu kini dibanjiri kira-kira 2,000 peserta berbaju merah. 
Sementara itu, ketika di Jalan Tun Ismail, seorang peserta berbaju merah diminta untuk mengikut pihak polis kerana disyaki membawa senjata. 
Bagaimanapun tiada sebarang kekecohan yang berlaku.


12pm, Jalan Conlay: Orang ramai berkumpul di tengah Jalan Conlay sambil melaungkan "Hidup Melayu" serta menanbyi "Inilah Barisan Kita". Ketua perarakan Armand Azha Abu Hanifah berkata arahan yang diterima mereka ialah memulakan perjalan pada jam 2 petang.
"Bukit Bintang ditutup," katanya. 

12.00pm, KL Sentral: Sekurang-kurangnya 60 peserta perhimpinan berbaju merah dilihat di sini. Mereka meluangkan masa mengambil gambar dan selfie sambil berborak. Ada antara mereka menunjukkan sepanduk Mualang 909. 
Membawa tujuh anggota keluarganya bersama, Kamaronzaman Baba, 52, berkata dia hadir untuk menyokong Malaysia yang aman. 
"Kami bukan nak buat huru-hara atau memperkecilkan bangsa lain," kata pemandu dari Klang itu. 
Katanya, dia menghormati hak BERSIH untuk berkumpul. Justeru dia juga berpendapat ada hak untuk melakukan tindakan sama. 

11.55am, Masjid Negara: Meskipun "Himpunan Melayu Bersatu" belum bermula secara rasmi - dijangka pada jam 2 petang nanti - kelihatan beberapa bekas minuman dibuang di sekitar pekarangan masjid.
Kawasan yang lazimnya bersih bagi umat Islam beribadah itu seakan pesta bagi peserta himpunan yang memenuhi kawasan tersebut untuk berkumpul sambil menikmati makanan mereka.
Keadaan ini agak berbeza dengan himpunan BERSIH 4 juga yang lebih peka soal kebersihan.

11:50am, Padang Merbok: Kira-kira 400 peserta himpunan berada di tepat terakhir perhimpunan hari ini.
Bagaimanapun mereka hanya duduk dan berbual sesama sendiri di tepi padang tanpa sebarang aktiviti.
Turut kelihatan penjual makanan dan minuman dikerumuni perserta perhimpunan itu.
Peserta, Normala Omar berkata dia tiba seawal jam 7 pagi tadi dan terus ke Padang Merbok untuk menyambut Hari Malaysia dan Himpunan Rakyat Bersatu.
"Saya datang dari Seremban dengan perasaan yang bersemangat. Harapan saya pada hari Malaysia ini, rakyat bersyukur dengan apa yang ada," katanya.

11.47am, Masjid Negara:  Bekas pempin muda PKR yang kini menyertai Umno, Lokman Adam memberikan arahan kepada peserta himpunan supaya berjalan dalam keadaan terkawal menuju Padang Merbok.
Beliau juga meminta peserta menunaikan solat hajat terlebih dahulu sebelum berarak ke destinasi terakhir himpunan baju merah itu.
"Pastikan jangan silap laluan, pastikan semua dalam keadaan selamat sampai ke Padang Merbok," kata Lokman dalam taklimat ringkasnya sebentar tadi.
Menurut Lokman lagi mereka akan berjalan melalui Jalan Kinabalu dan menyusuri Jalan Tun Hussien Onn sebelum ke Padang Merbok.

11.45am, Persimpangan Jalan Tun Razak - Jalan Tun Ismail: Ibu tunggal kepada empat anak, Hamidah, menjual kain ikat kepala merah bertulis Himpunan Melayu Bersatu.
"Maruah Melayu! Maruah Melayu! Hari ni kita kasipecah!" katanya untuk menarik pelanggan.
Ditanya Malaysiakini, Hamidah berkata setakat ini sudah 500 helai terjual dan dia menitiskan air mata pada hari ini.
"Saya menangis sebab saya rasa Melayu tak bersatu," katanya. 

11.30am, Masjid Negara: Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan tiba disambut sorakan setiap peserta himpunan yang berada di sini. Mereka juga turut menyanyikan lagu "Inilah Barisan Kita" sambil mengibarkan bendera negeri masing-masing.
Untuk makluman, Malaysiakini diberitahu peserta dari Melaka, dan Negeri Sembilan telah tiba sebentar tadi.
Setakat ini seramai 400 peserta dari Batu Pahat, Johor telah sampai dan baki 1,500 lagi akan tiba bila-bila masa.

11.20am, Masjid Negara: Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Raffi berkata mereka berkumpul hari ini untuk memberi mesej kepada BERSIH bahawa bukan semua menyokong gerakan itu.
"Perhimpunan hari ini juga untuk memaklumkan kepada semua bahawa kami mendukung sistem demokrasi negara," katanya kepada pemberita.
Razlan juga memaklumkan peserta dari empat negeri telah memenuhi pekarangan masjid dan hanya menunggu ketibaan Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zakarshi.
Puad dijangka tiba bila-bila masa sahaja lagi bagi mengetuai peserta himpunan di situ.

11.10am, Masjid Negara: Semakin ramai perserta himpunan sudah memenuhi pekarangan masjid. Difahamkan mereka datang dari Kelantan, Pahang dan Johor.
Setiap kali ada bas tiba menurunkan penumpang suasana menjadi bingit apabila orang ramai membunyikan vuvuzela.

11.05am, Jalan Conlay: Kira-kira 100 lelaki berbaju merah tiba sambil melaungkan takbir dan mengibarkan bendera hitam dengan lambang Arab Saudi. 
Mereka mendakwa mewakili Persatuan Silat Alif Ba Ta dari Gombak. Pada baju mereka terpapar perkataan "Semangatnya Keris" dalam tulisan jawi.
Salah seorang yang ditemui berkata, mereka berkumpul untuk melindungi maruah Melayu.
"Pembangkang mempersenda pemimpin Melayu. Kita mesti bangkit mempertahankannya," katanya.

11.00am, Plaza Low Yat: Kira-kira 40 peratus daripada 600 kedai dan gerai di sini ditutup, termasuk premis menjual telefon genggam Oppo yang menjadi punca pertikaian baru-baru ini.
Pengurus Perhubungan Awam Plaza Low Yat, Gary Lam berkata, sesetengah peniaga terpengaruh dengan khabar angin melalui media sosial kononnya mereka akan dicederakan.
Lam juga mengaku jumlah pelanggan dan pelancong hari ini berkurangan.
"Biasanya pada hari cuti umum kira-kira 60,000 orang bertumpu di kompleks ini," katanya.

11.00am, PWTC:  Bilangan peserta di dalam dan luar PWTC semakin ramai. Mereka antaranya datang dari Perak, Kelantan, Langkawi dan Terengganu. 
Di Jalan Tun Ismail, kira-kira 2,000 peserta berkumpul sambil melaungkan "Hidup Melayu".  Mereka turut membawa sepanduk betulis "Ini tanah Melayu" dalam tulisan jawi. 
Seorang peserta dari Langkawi, Rohayati kassim, 53, berkata kehadirannya hari ini adalah demi bangsa Melayu dan memberi semangat untuk menjadikan Malaysia lebih baik. 
"Sekarang ini Malaysia jadi huru-hara. Nak bagi elok balik," katanya.
Seorang lagi peserta yang memakai serban dan berjubah hitam dari Gombak pula berkata, kehadirannya pada hari ini untuk memberi amaran kepada DAP supaya tidak menghina Islam, institusi raja dan kaum Melayu. 
"Saya nak protes terhadap DAP kerana hina Islam, bangsa Melayu, raja-raja dan perdana menteri. 
"Saya nak bagi amaran pada DAP, selagi Melayu ada, DAP jangan biadap. Orang Melayu kalau mengamuk, habis. Jangan nak khianat dan kurang ajar pada Melayu," kata Mahadi Muhammad, 53.

11.00am, Masjid Negara: Salah seorang peserta yang ditemui Mohd Hamidi Matap, 39, memaklumkan kepada Malaysiakini beliau hadir hari ini selepas dimaklumkan ketua bahagiannya.
"Kami hadir bukan atas arahan siapa-siapa tapi kami dimaklumkan bahawa Datuk Dr Puad (Zakarshi) cuma memberitahu. Beliau tidak menyuruh mahupun menghalang kami datang," kata Mohd Hamidi.
Puad adalah Ketua Umno Batu Pahat.

10.45am, Jalan Conlay: Kira-kira 500 peserta berada berhampiran Kompleks Kraf Kebangsaan dengan lebih kurang 100 motosikal diletakkan berhampiran pintu masuk.  Sebahagian lagi sudah meninggalkan kawasan ini menaiki bas untuk ke PWTC. 
Datuk Jamal Md Yunos yang menjadi ketua perhimpunan belum kelihatan tiba namun beberapa pertubuhan Melayu termasuk Pekida sudah ada. 

10.45am, Pasar Seni: Keadaan tenang dengan gerai dan kedai berniaga seperti biasa. Hanya kurang daripada 10 orang Melayu berbaju merah dilihat berkumpul di sini.
"Kami tunggu di sini tengok ada orang lain datang atau tak. Kalau tak ada, kami akan bergerak ke Padang Merbok nanti," kata seorang daripada mereka kepada Malaysiakini.


10.40, PWTC:  Lebih 3,000 peserta memakai baju merah mula berkumpul. Ketika ditanya ada antara mereka mendakwa datang dari Pekan, Pahang.
Mereka berkumpul dan membunyikan vuvuzela sambil membawa sepanduk bertulis "Menolak Perhimpunan Bersih" dan "Menolak campur tangan asing".
10.35am, Jalan Conlay: Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan datang melawat dan bertemu peserta perhimpunan. Dia diiringi kira-kira 20 motosikal. Menurut beliau, himpunan hari ini menunjukkan bahawa rakyat negara ini perlu bersatu pada Hari Malaysia.

10.30am, Masjid Negara: Salah seorang peserta himpunan, Hasnah Jahiriah, 67, yang ditemui Malaysiakini berharap himpunan petang ini berjalan dengan aman tanpa sebarang kekacauan.
"Harap tak ada apalah yang kecoh," katanya.

10.20am, PWTC: Kira-kira lima peserta yang berkumpul di PWTC mengoyak dan membakar poster bertulis "Celaka DAP rasis celaka DAP rasis". Kejadian itu bagaimanapun berlaku hanya kira-kira lima minit dan tiada sebarang kekecohan lain terjadi.

10am, Masjid Wilayah: Keadaan meriah dengan hampir 100 bas membawa lebih 3,000 peserta berkumpul di sini. Kebanyakan mereka - berpakaian merah - datang dari Pulau Pinang, Kedah dan Perak. 
Aina Mohamad, 56, berkata dia menaiki bas disewa pertubuhan bukan kerajaan dan bergerak dari Tasek Gelugor.
"Kami kumpul duit sendiri. Kami bukan dari Umno. Tak ada elaun, kecuali makan minum yang disediakan," katanya kepada Malaysiakini.
Kawannya, Salehin, 57, berkata dia menjangkakan ada 300,000 orang akan hadir hari ini.
"Depa (BERSIH) ingat depa saja boleh buat. Kami pun boleh," katanya. 
Ditanya jarak yang perlu ditempuh untuk sampai ke Padang Merbok dari PWTC, mereka juga yakin dapat melakukannya dengan  "izin Tuhan".

10am, Masjid Negara: Lima bas dari Felda Jengka tiba di pekarangan masjid membawa lebih 200 orang.
Menurut Hasnah Ibrahim, 61, beliau hanya dimaklumkan akan dibawa datang ke ibu negara pagi ini pada lewat petang semalam.
Kata Hasnah, beliau hadir kerana "cemburu" ramai masyarakat Cina sebelum ini mengadakan himpunan BERSIH 4.
"Cemburu juga baju kuning buat himpunan. Kami pun nk berhimpun juga," katanya.

9.40am, Jalan Petaling: Semua gerai kelihatan ditutup kecuali sebuah yang menjual baju kemej. Ramai anggota polis dilihat berkawal pagi ini.
Menurut seorang pegawai polis, seramai 500 anggota ditempatkan di kawasan ini.
Pemilik gerai yang beroperasi - dikenali sebagai Tan - berkata walaupun ada sedikit kebimbangan terhadap keselamatan, dia tetap berniaga dan yakin dengan kawalan diberikan polis. 
"Duduk di rumah saja pun saya tak ada apa nak buat. Jika keadaan tidak sesuai saya mungkin tutup gerai tengah hari nanti. Tengok keadaan," katanya. 
Menurut Tan ada kira-kira 700 gerai berniaga di sini pada hari biasa.

9.30am, Jalan Conlay: Kira-kira 20 motosikal polis dilihat diparkir di luar Kompleks Kraf. Keadaan masih tenang. Semalam ketua perhimpunan Datuk Jamal Md Yunos berkata orang ramai akan mula berkumpul pada jam 10am.

Keadaan di Jalan Conlay. Ia adalah salah satu lokasi tempat peserta himpunan berkumpul sebelum mereka bergerak ke Padang Merbuk.

Suasana di Bukit Bintang.

9.30am, Masjid Negara: Kira-kira 100 peserta himpunan baju merah mula memenuhi pekarangan masjid.  Tinjauan rambang Malaysiakini mendapati kebanyakan mereka adalah peserta tanah rancangan dari Gua Musang, Kelantan.
Zabedah Ali, 45, berkata mereka bertolak dari Gua Musang kira-kira jam 10.30 malam tadi dan tiba di ibu negara kira-kira enam jam kemudian.
"Kami sampai jam 4.00 pagi tadi, tidur sekejap," kata Zabedah sambil membuka bekalan makanan yang disediakan dalam polisterin bersama tea O bungkus.
Zabedah juga memaklumkan kepada Malaysiakini mereka didatangkan dengan 11 buah bas.

9.00am, Bukit Bintang: Sekurang-kurangnya 400 anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal di sekitar Pavillion dan pusat beli-belah. Dua bas polis dan kenderaan FRU dilihat di jalan.
Anggota FRU berada di kawasan tumpuan pelancong. Bukit Bintang adalah lokasi awal kumpulan Baju Merah bercadang berkumpul sebelum ini. Namun tiada tanda-tanda menunjukkan mereka di sini setakat ini.

**LAPORAN PENUH DIATAS DIPETIK DARI PORTAL MALAYSIAKINI

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget