TERIMA KEPUTUSAN SIASATAN DENGAN HATI TERBUKA

Titik penamat insiden MH17 bagi keluarga Tambi Jiee apabila semua mangsa disemadikan: Drahman



KUCHING: Ahli keluarga mangsa nahas pesawat MH17, Tambi Jiee menerima apa juga keputusan siasatan dengan hati terbuka.
Abang mangsa, Drahman Jiee berkata titik penamat insiden malang yang turut meragut nyawa adik iparnya, Ariza Ghazalee dan empat anak saudaranya itu adalah apabila jenazah semua mangsa disemadikan dengan aman.
“Kita serah pihak berkuasa dan kerajaan menjalankan siasatan tetapi apa juga keputusan siasatan kita terima dengan hati terbuka dan reda kerana titik penamatnya adalah jenazah mereka ini dapat disemadikan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertemakan Keluarga Bahagia, Aidilfitri Ceria di Dewan Baitulmal di sini semalam.
Insiden setahun berlalu itu tidak mematahkan semangat Drahman serta keluarga meneruskan aktiviti seharian mereka.
“Sambutan Hari Raya seperti biasa walaupun pada tahun pertama agak suram kerana kita masih teringat tentang arwah tetapi kita terima dengan hari terbuka dan segalanya berjalan dengan baik,” katanya.
Menurutnya, beliau bersama tiga lagi ahli keluarganya turut serta menghadiri Majlis Memperingati Mangsa MH17 di Kuala Lumpur pada 11 Julai lalu.
Mengenai perkembangan sama, beliau memberitahu pihaknya kini masih menunggu Surat Pengesahan Mentadbir bagi menentukan waris arwah Tambi untuk menguruskan wang pampasan yang akan diberikan oleh syarikat MAS.
“Saya difahamkan surat ini akan diterima pada hujung bulan ini bagi menentukan waris mangsa bagi proses pemberian wang pampasan oleh MAS,” jelasnya.
Ditanya perancangan wang pampasan itu, Drahman berkata, ia terpulang kepada jumlah wang pampasan dan perbincangan yang dijalankan bersama ahli keluarga lain bagi menggunakan wang tersebut.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata khidmat kaunseling dan bimbingan terus diberikan kepada waris mangsa MH17 jika diminta berbuat demikian.
“Kita akan memberi khidmat kaunseling dan intervensi kepada keluarga atau waris mangsa MH17 jika diminta.
“Mereka perlu memanggil kami dahulu, kita tidak boleh datang begitu sahaja kerana kita menghormati privasi mereka dan setahun tragedi berlaku kita berharap mereka terus melangkah meneruskkan kehidupan… bukan hanya untuk waris tragedi MH17 tetapi MH370,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran KPWKM di sini semalam.
Menurut Rohani, ketika ini tahap kemurungan keluarga mangsa tragedi berkenaan semakin baik dan ada kala-ngan mereka meneruskan kehidupan seperti biasa.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget