LUNDU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah mengenal pasti dua calon berpotensi untuk bertanding bagi kerusi N.1 Opar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Perkara ini telah dinyatakan oleh Penasihat SUPP Cawangan Opar dan Engkilili, Datuk Francis Harden Hollis pada majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Sebandi Hulu, di sini semalam.
Harden yang juga Naib Presiden II SUPP berkata, kedua-dua calon iaitu Niponi Undek dan Billy Sujang telah menerima restu daripada majlis tertinggi parti untuk diperkenalkan kepada umum.
“Kerusi N.1 Opar masih di tangan SUPP di bawah Barisan Nasional (BN) dan kita akan mempertahankan kerusi ini pada PRN akan datang.
“Bagi tujuan itu, parti di peringkat induk dan cawangan telah mengenal pasti dua calon berpotensi yang akan dipilih untuk bertanding atas tiket SUPP bagi N.1 Opar pada PRN kelak.
“Sehubungan itu, saya dan barisan pucuk kepimpinan parti berharap kedua-dua calon ini akan saling bekerjasama meskipun hanya seorang daripada mereka akan dipilih nanti,” katanya.
Bercakap mengenai calon yang dimaksudkan, kedua-dua mereka merupakan anak tempatan dari kawasan N.1 Opar dan berbangsa Bidayuh Selako.
Niponi, 53, berasal dari Kampung Tebaro dan merupakan Pengarah Kolej Kesihatan Awam Kuching, manakala Billy, 47, dari Kampung Sebako merupakan Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan dan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kesihatan Negeri.
Dalam pada itu pada PRN 2011, kerusi N.1 Opar telah dimenangi oleh calon BN iaitu Ranum Mina yang bertanding atas tiket SUPP.
Namun susulan krisis dalaman SUPP, Ranum telah dipecat dari parti dan membentuk Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang dipimpin oleh Dato Sri Wong Soon Koh.
Turut hadir pada majlis itu semalam, Presiden SUPP Senator Datuk Prof Dr Sim Kui Hian, Ahli Parlimen Mas Gading Anthony Nogeh, Pengerusi SUPP Cawangan Opar Ampel Barba serta yang lain.-Utusan Borneo
Post a Comment