Sarawak wajar tuntut lebih banyak bahagian dalam Malaysia: Dr Sim



KUCHING: Sarawak wajar menuntut lebih banyak bahagian dalam Malaysia seperti memegang jawatan tinggi di peringkat kerajaan persekutuan, kata Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senator Datuk Dr Sim Kui Hian.
Tegasnya, tuntutan tambahan royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus sahaja tidak memadai kerana perjuangan Sarawak dalam mendapatkan bahagian setimpal dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia perlu dilihat dalam konteks lebih luas.
“Kita perlu berjuang untuk mendapatkan lebih banyak bahagian untuk Sarawak di Malaysia, bukan sekadar menuntut syer Malaysia untuk Sarawak yang tidak hanya dari segi kewangan, tetapi pelbagai posisi dalam sektor kerajaan juga,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan geran kepada 39 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Ibu Pejabat SUPP di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi SUPP Cawangan Batu Kawah Tan Joo Phoi.
Dr Sim turut melahirkan kekesalan kerana tidak ramai penduduk Sarawak diberi peluang memegang jawatan tinggi dalam sektor awam sama ada di peringkat kementerian, jabatan atau agensi.
Berdasarkan statistik yang diberikan kepada beliau, katanya, Sarawak jelas tidak mempunyai pengkongsian sama rata dalam pengurusan di kementerian dan agensi di peringkat atasan.
Sarawak, katanya, wajar membangunkan sektor sumber manusia demi pembangunan negeri ini agar tidak perlu bergantung dengan Semenanjung Malaysia.
Peluang dan pembangunan sumber manusia adalah lebih penting kerana ia dapat menjurus kepada pembangunan infrastruktur fizikal, tambahnya.
“Selepas lebih 50 tahun (membentuk Malaysia), kenapa belum ada IGP (Ketua Polis Negara) berasal dari Sarawak? Begitu juga dengan jawatan Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Hakim Malaysia.
“Mungkin kerana kita membataskan perjuangan diri dengan kepentingan dalam Sarawak sahaja selama ini,” katanya. -Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget