Sehubungan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menegaskan, pendedahan berkenaan perlu diambil kira dalam siasatan menyeluruh yang dilakukan oleh pasukan khas berkenaan.

‘‘Dalam konteks memastikan ketelusan dan kebenaran, kita telah wujudkan pasukan khas yang mana siasatan sedang dilakukan, saya rasa itu cara terbaik daripada kita melayan spekulasi-spekulasi yang datang.

‘‘Saya minta orang ramai supaya bertenang dan mereka yang dipertanggungjawabkan membuat siasatan dengan telus agar diterima oleh orang ramai,’’ katanya dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Bera di Dataran Kerayong di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Senator Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Akhbar melaporkan Justo mendedahkan dia telah dijanjikan bayaran sebanyak AS$2 juta (RM7.6juta) oleh seorang ahli perniagaan Malaysia untuk mendapatkan dokumen urus niaga berkaitan bekas majikannya dan 1MDB.

Justo seperti dilaporkan akhbar The Straits Times Singapura berkata, pembeli berkenaan turut merancang untuk mengubah dokumen tersebut dan digunakan bagi tujuan menggulingkan kerajaan Malaysia.

Menurut Hishammuddin, orang ramai tidak perlu terikut-ikut dengan pelbagai dakwaan yang disebarkan melalui media sosial, sebaliknya perlu menunggu keputusan telus yang akan diputuskan oleh pasukan penyiasat yang dilantik.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan isu ini tidak akan memecahbelahkan perpaduan antara pelbagai kaum di negeri ini yang telah lama wujud sejak sekian lama.

Beliau memberitahu, pada masa ini pihak Peguam Negara telah memanjangkan laporan awal kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dijadualkan akan membentangkan laporan lengkap pada Oktober ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam keadaan landskap dunia yang cukup kompleks pada hari ini, kerajaan sentiasa mengambil serius terhadap isu-isu keselamatan yang boleh mengancam keharmonian negara.

‘‘Jadi, sebagai Menteri Pertahanan, kita dapat maklumat dan berkongsi risik dengan negara-negara lain yang turut berhadapan dengan cabaran tersendiri,’’ ujarnya. -Utusan Online.