Rokok elektronik beri kesan negatif



KUALA LUMPUR 25 Julai – Kan­dungan bahan kimia yang terdapat dalam perisa rokok elektronik bukan sahaja mampu mendatangkan bahaya kepada kesihatan seperti jantung, malah memberi kesan terhadap emosi kepada penggunanya untuk jangka masa panjang.

Pensyarah dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Munirah Yasin berkata, pengguna akan mengalami perasaan marah, tertekan dan gelisah jika tidak dapat menghisap bahan tersebut untuk jangka masa tertentu.
Katanya, kandungan yang terdapat dalam perisa rokok elektronik seperti propylene glycol, gliserin dan perisa mampu memberi ketagihan kepada pengguna.

“Selain itu, hasil kajian yang dilakukan sebelum ini terhadap haiwan menunjukkan ia berpotensi merosakkan lapisan sel yang terdapat dalam tubuh badan dan juga organ seperti paru-paru.

“Kandungan nikotin yang terdapat dalam perisa rokok elektronik juga dapat mencacatkan perkembangan otak kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai rokok elektronik yang kini menjadi trend serta mudah didapati di pasaran bertujuan untuk mengawal perokok tegar dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Munirah berkata, setakat ini pelbagai pihak masih menjalankan kajian secara terperinci terhadap kesan penggunaan rokok elektronik serta kesan kepada masyarakat sekeliling.

“Kita masih tidak mengetahui kesannya kepada manusia. Ia mungkin kurang berbahaya daripada rokok. Tetapi kandungan nikotin yang terkandung dalam alat ini mungkin tidak mampu membuatkan perokok daripada berhenti mengamalkan tabiat tersebut,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Sub-Kluster Sains Kesihatan, Majlis Profesor Negara (MPN) Prof. Datuk Dr. Jamaludin Mohamed berkata, pengguna rokok elektronik lebih berisiko tinggi mendapat penyakit berbahaya disebabkan kandungan nikotinnya tinggi.

Menurut beliau, pengguna seharusnya mencari alternatif lain jika berhasrat untuk berhenti me­rokok dan mengawal ketagihan nikotin. -Utusan Online.
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget